DALAM kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (AMANAH) mempertaruhkan calon paling sedikit apabila hanya bertanding 31 daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Jumlah calon diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu kelmarin kurang dua kerusi berbanding 33 disasarkan parti itu seperti diumumkan sebelum ini, namun senarai itu masih boleh berubah sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.
Calon bagi dua kerusi DUN di Terengganu, Tepoh dan Bandar masih dalam perbincangan yang dijangka selesai sebelum hari penamaan calon.
AMANAH yang baru kehilangan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, mempertaruhkan lebih separuh muka lama berpengalaman menjadi wakil rakyat di Parlimen atau DUN, manakala 15 lagi muka baharu dan masing-masing tujuh calon muda serta wanita.
Dari segi peratusan, parti itu menampilkan hampir 40 peratus calon baharu, namun masih rendah berbanding BN dengan 63 peratus. Antara cabaran calon baharu ialah kurang rekod kerja dan belum dikenali, sekali gus mungkin sukar meraih undi jika jenama parti tidak digemari.
Berdasarkan corak pengundian dan demografi pengundi PH, faktor parti menjadi signifikan berbanding calon dan dalam aspek ini, hubungan pengundi teras dengan pemimpin setempat sangat penting berbanding demografi pengundi Barisan Nasional (BN) - UMNO yang ada akar umbi.
Pengarah Eksekutif di Pusat Kajian ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar melihat AMANAH tidak banyak pilihan, sekali gus terpaksa terus menggunakan calon 'kitar semula' yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan PRU14.
Ia, katanya, disebabkan parti itu masih tercari-cari identiti dan banyak berkompromi dengan sekutu dalam PH dan rakan kerjasama baharu, BN-UMNO
"Perlu diakui AMANAH parti serpihan PAS yang sepatutnya jadi pilihan orang Melayu dan Islam, namun realitinya, AMANAH hanya dapat sokongan di kawasan pengundi bercampur, bukan di kerusi jajaran Melayu.
"AMANAH menang di DUN dan Parlimen kawasan bercampur undi pada pilihan raya lalu, bukannya undi majoriti pemilih Melayu. Hampir semua kerusi dimenanginya pada PRU15 disumbangkan dari lokaliti separa bandar atau sub-urban," katanya.
AMANAH seperti PKR
Atas faktor itu, penyertaan AMANAH tidak sama untuk pasaran pengundi di kawasan PAS dan UMNO walaupun dalam konteks PH, ia dianggap mewakili undi orang Melayu Islam.
"AMANAH seperti PKR, tidak secara mutlak boleh kuasai segmen Melayu-Islam. Bila ada kerjasama PH dengan UMNO-BN, kerusi ditinggalkan BERSATU yang dulu bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU14 untuk kerusi Melayu-Islam, diserahkan kepada UMNO.
Semangat kerjasama dalam PH menyaksikan di Selangor, DUN Hulu Klang diserahkan kepada PKR dan sebagai balas, AMANAH mendapat DUN Batu Tiga dengan peluang sama rata untuk mencipta kemenangan seperti di Hulu Klang.
Andai mahu juga bertanding di DUN bermajoriti pengundi Melayu, AMANAH yang seperti PKR dilihat tidak ada kekuatan identiti untuk membawa ciri parti Melayu, harus menampilkan calon nama besar dan berwibawa.
"Jika calon muka baharu pula, mereka perlukan dokongan daripada UMNO di peringkat jentera parti. Contoh di Kuala Nerang dan Sungai Limau di Kedah, AMANAH tiada kekuatan (jentera), tambahan pula calonnya baharu.
"Namun, ia boleh menang jika ada jentera untuk tarik undi daripada penyokong dan ahli UMNO-BN," kata Hisomuddin yang melihat AMANAH sukar menang di Kelantan dan Terengganu, tetapi boleh beri saingan sengit dengan bantuan ahli dan penyokong UMNO-BN.
Namun, ada ahli dan penyokong BN-UMNO dilihat masih dalam dilema dengan kajian di lapangan mendapati mereka sukar membuat keputusan jika tiada lambang BN pada kertas undi kerana sejak merdeka, nama gabungan itu sentiasa tercatat pada kertas undi.
"Justeru, BN-UMNO perlu kerja keras bantu AMANAH di kawasan majoriti Melayu dan menterjemah kerjasama politik dengan PH kepada ahli, penyokong serta pengundi mereka di kawasan berkenaan," katanya.
Bagi Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pula, AMANAH masih relevan dalam kerjasama PH-BN kerana sasarannya bukan mahu menjadi dominan, sekadar mengimbangi imej PH membawa nilai Islam progresif untuk memikat pengundi Melayu.
Dengan kemasukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pula, tanggungjawab meraih sokongan Melayu bukan saja terletak pada AMANAH, tetapi turut dikongsi UMNO.
"Keutamaan AMANAH bukan saja jumlah kerusi, tetapi peratusan kerusi yang boleh dimenangi menerusi kerjasama UMNO-BN. Ini membolehkan parti dalam Kerajaan Perpaduan menumpukan usaha dan sumber khusus kepada kerusi masing-masing.
"Isu kejanggalan untuk berkempen bagi parti lain, sama ada PH mahu pun UMNO-BN perlu ditangani segera oleh pucuk pimpinan agar tidak berlaku sebarang tindakan protes," katanya.
Beliau menasihatkan calon baharu khususnya daripada AMANAH atau PH membawa naratif nasional dan mengangkat imej parti selain membina jenama peribadi.
"Perlu juga sedar bahawa pengundi PH, khususnya di bandar atau luar kawasan lebih terdedah kepada media sosial dan isu semasa, selain isu lokal," katanya.
Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH