Isnin, 24 Julai 2023 | 8:39am

Tak bawa 'politik' ke masjid, surau tanda junjung agama

LARANGAN pentadbir masjid dan surau di Selangor membantu atau terbabit apa juga aktiviti berfokus politik di institusi penting agama dan umat Islam itu hakikatnya bukan sahaja wajar ditekankan atau dikuat kuasa di negeri itu sahaja. Ini kerana negeri lain termasuk yang tidak melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) juga memiliki enakmen atau peraturan sama yang mencegah sebarang penyalahgunaan fungsi hingga boleh memecahbelahkan umat Islam.

Apatah lagi kita tahu banyak jawatankuasa masjid dan surau dikuasai pemimpin atau ahli parti bernuansa Islam terutama PAS serta Parti Amanah Negara (AMANAH), manakala sebahagian pemimpin kerajaan negeri terutama berlatarbelakangkan pendidikan Islam juga memiliki tauliah untuk menyampaikan ceramah, kuliah dan khutbah Jumaat. Justeru, ahli jawatankuasa (AJK), imam, ustaz dan ustazah penyampai kuliah turut tertakluk kepada peraturan berkenaan.

Pada masa sama, penceramah dan pengkuliah perlu diingatkan supaya tidak menyisipkan elemen politik kepartian terutama kempen PRN dalam ceramah atau kuliah, sekali gus bukan sahaja bertentangan dengan peraturan, bahkan bercanggah dengan matlamat sebenar ilmu. Ini bukan bermakna kita menyeru kepada pemisahan politik daripada Islam seperti dikehendaki dalam faham sekularisme, sebaliknya kita menegaskan persoalan itu boleh dibincangkan dalam konteks akidah, fiqh dan akhlak dengan kerangka adab serta ilmu.

Hakikatnya, persoalan parti politik dan pemilihan calon dalam pilihan raya boleh memecahbelahkan umat Islam seperti banyak berlaku dalam sejarah siasah di negara ini apabila turut dicampuradukkan tuduhan menafikan keislaman seseorang atau sesuatu kumpulan, malah terlalu mudah mengeluarkan ahli kiblat daripada agama yang dilarang berdasarkan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

- Foto hiasan NSTP
- Foto hiasan NSTP

Inilah yang kita fahami daripada titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sering mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan masjid dan surau umpama medan atau gelanggang siasah, sekali gus mengarahkan majlis serta jabatan agama Islam memastikan ia bebas daripada pengaruh politik kepartian. Ini kerana kedua-dua institusi itu bukan sahaja menjadi rumah Allah sebagai tempat beribadat, bahkan pusat sosioekonomi umat Islam yang berfungsi menyatukan dan membangunkan masyarakat dari pelbagai aspek.

Justeru, kita meminta majlis dan jabatan agama Islam untuk mengambil tindakan segera kepada mana-mana individu atau kumpulan yang menjadikan masjid dan surau sebagai lokasi mengadakan aktiviti propaganda politik termasuk secara berselindung atau mengaburi mata pihak berkuasa berkenaan. Oleh itu, AJK perlu lebih bijak mengesan salah guna fungsi rumah Allah itu, sekali gus bertegas melaksanakan peraturan dan titah baginda yang menjadi ketua agama dalam isu berkaitan Islam.

Pada calon dan jentera pilihan raya parti pula, kita mengingatkan mereka juga bertanggungjawab untuk menjaga kesucian rumah Allah itu daripada membawa masuk sesuatu yang boleh mencetuskan pertelingkahan dan perbalahan dalam masyarakat ke dalam masjid atau surau. Malah, kebertanggungjawaban itu menjadi kayu ukur sejauh mana parti mereka betul-betul menjunjung syariat Islam dan menghormati institusi diraja.

Berita Harian X