Soalan (S): Berapa kerusi DUN Selangor boleh dianggap dalam tangan PN?
Jawapan (J): Insya-Allah dengan gelombang rakyat, PN akan menang 33 kerusi DUN majoriti Melayu dan turut dibantu sokongan masyarakat Cina serta India yang dijangka beralih kepada PN. Berdasarkan keputusan Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15), terdapat lebih 30 peratus DUN yang menyaksikan peningkatan undi majoriti kepada PN. Namun, selepas tujuh bulan PH-BN membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, PN menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan memberi sokongan kepada calon PN di setiap kerusi DUN yang terdiri daripada 70 peratus profesional dan anak muda.
S: Pada PRU15 November lalu, PN menang kerusi Parlimen di Selangor dengan majoriti kecil, berbanding PH. Untuk PRN, ditambah pula undi daripada penyokong BN, sejauh mana sasaran menang 33 kerusi boleh dicapai?
J: Rakyat Selangor sudah melalui zaman pemerintahan BN, PH, PN di peringkat Persekutuan dan sekarang PH-BN. Sebagai negeri termaju, majoriti pengundi di Selangor adalah mereka yang bermaklumat. PN sudah buktikan kepada seluruh rakyat bahawa ia dapat bentuk kerajaan stabil, menghormati proses mahkamah, mampu menangani krisis besar negara, prihatin terhadap nasib rakyat, berintegriti, memerangi korupsi, menggalakkan kebebasan bersuara anak muda dan tidak bertindak zalim terhadap musuh politik. Kita yakin inilah bentuk kerajaan yang rakyat Selangor inginkan untuk membawa negeri ke tahap lebih maju setanding negara lebih maju.
S: Mungkin ada pengundi bukan Melayu, Bumiputera akan mengundi PN, namun bukan sebahagian besarnya. Tidakkah sasaran rampas Selangor boleh menjadikan PN dianggap bernafsu besar, tetapi sebenarnya tiada kudrat?
J: PN ialah gabungan politik yang sangat memahami senario masyarakat majmuk di Malaysia. Semua rakyat tanpa mengira ras atau pegangan agama mahukan sebuah kerajaan bersih, berintegriti, tidak mencuri duit rakyat, kompeten, menunaikan janji dan berkemampuan untuk mengendalikan ekonomi negeri termaju dengan dasar kompetitif. Ini kerana nasib mereka dan generasi mereka yang akan datang bergantung kepada pemerintahan yang baik. Ini adalah corak pentadbiran yang mampu PN tawarkan. Perkara sama tidak mampu ditawarkan parti lawan. DAP kita lihat sehingga hari ini masih tidak menarik semula Deklarasi Setapak yang memperjuang kesamarataan tanpa memberi keistimewaan kepada Bumiputera. Bumiputera semakin tercicir dari sudut ekonomi walaupun didesak MCA yang kini bersama dalam kerajaan.
S: Isu projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang, Selangor Maritime Gateway, pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam dan isu hutan simpan jadi modal kempen PN?
J: Sebagai gabungan yang mementingkan integriti dan governan, PN akan sentiasa menyedarkan rakyat terhadap isu terkait dengan Selangor. Jelas, isu pelebaran sungai, projek Selangor Maritime Gateway, Kompleks Sukan Shah Alam dan hutan simpan mempamerkan ciri-ciri pelanggaran prinsip integriti dan governan, memusnahkan sistem integriti dan governan yang berjaya dilaksanakan sewaktu pentadbiran (Allahyarham) Tan Sri Khalid Ibrahim. PN akan bawa isu ini ke perhatian pengundi Selangor untuk memastikan mereka memilih dengan 'mata yang terbuka' pada PRN ini.
S: Siapa calon Menteri Besar paling sesuai jika PN menang PRN?
J: Seperti amalan biasa, gabungan yang menang pilihan raya harus mengemukakan beberapa nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan Sultan Selangor yang memiliki prerogatif dalam hal ini. Insya-Allah, PN akan mengemukakan nama calon yang berintegriti, bersih, kompeten dan menghormati institusi Raja untuk menerajui pentadbiran Selangor. Di samping itu, calon itu juga akan mampu mengendalikan ekonomi termaju Malaysia dan memaksimumkan potensi anak muda untuk membawa Selangor menjadi negeri bertaraf dunia. Buat masa ini, fokus PN adalah untuk meyakinkan rakyat Selangor bahawa kami mempunyai kemampuan, iltizam dan kejujuran memperjuangkan nasib dan membawa aspirasi mereka untuk tempoh lima tahun akan datang. Untuk jawatan Menteri Besar juga, anak tempatan wajar diberi peluang dan juga dalam barisan EXCO dengan perkenan Sultan Selangor.
S: Hasil banyak kajian dan tinjauan, PN dilihat sukar merampas Selangor tapi akan beri saingan sengit?
J: PRU15 membuktikan rakyat semakin bijak memilih dan berani membuat perubahan. Rakyat Selangor pula melihat corak pemerintahan PH di bawah Datuk Seri Amirudin Shari, apakah tahap pencapaian beliau membangunkan negeri, sejauh mana beliau melaksanakan prinsip integriti dan governan dalam pentadbiran. Rakyat Selangor juga boleh membandingkan pencapaian Datuk Seri Amirudin dengan pentadbiran Allahyarham Tan Sri Khalid dalam aspek kompetensi pentadbiran, dasar kebajikan rakyat, peningkatan rizab kewangan negeri dan penjagaan tanah rizab Melayu.
Selangor perlu dilihat mandiri dan berkeupayaan tinggi menarik pelabur berkualiti serta tidak hanya menumpukan pembangunan di Lembah Klang sahaja. Limpahan ekonomi dan projek infrastruktur perlu diperluas kepada kawasan luar bandar selain menjana sumber ekonomi baharu seperti teknologi hijau, 'carbon credit' dan perusahaan halal 'smart manufacturing' di daerah lain. Pemimpin PN Selangor ada pengalaman mentadbir negeri. Kita mempunyai keyakinan boleh menawarkan sesuatu lebih baik kepada rakyat Selangor.
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, - Timbalan Pengerusi PN Selangor/Pesuruhjaya PAS Selangor