Sabtu, 22 Julai 2023 | 11:13pm
Dari kiri; Datuk Seri Aminuddin Harun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dari kiri; Datuk Seri Aminuddin Harun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Aminuddin dicadang kekal sebagai MB Negeri Sembilan - Anwar

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) sedia mencalonkan semula Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, jika gandingan PH dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan mencalonkan Aminuddin juga sudah dibincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya belum umum apa-apa (mengenai calon Menteri Besar Negeri Sembilan) pun sebab ambil masa (bincang) dengan rakan-rakan.

"Selepas menyampaikan pandangan kita kepada Pengerusi BN dan Presiden UMNO, untuk kelangsungan di Negeri Sembilan, Aminuddin..maka kita calonkan beliau sebagai Menteri Besar," katanya pada Majlis Pengumuman Calon PKR di Padang Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam ini.

Anwar menyifatkan, Aminuddin sudah menunjukkan prestasi mentadbir yang cemerlang sejak menerajui negeri itu sepenggal yang lalu, malah keupayaannya diakui sendiri lawan dan kawannya.

"Tidak ada ruang sehingga rakan dan lawan mengakui (prestasi) Menteri Besar (Aminuddin) ini, beliau tidak sukar ditemui atau mesra pengundi," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mengumumkan, Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua jika gabungan PH-BN menang PRN bulan depan.

"Pulau Pinang kita sudah putuskan untuk calonkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri atas prestasi beliau memajukan negeri Pulau Pinang," katanya.

DAP Negeri Sembilan sebelum ini turut menyatakan sokongan supaya Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan, terus diberi peluang menerajui kepimpinan negeri itu sebagai Menteri Besar sekiranya Kerajaan Perpaduan dapat menang PRN.

Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan membawa usul berkenaan kepada Anwar untuk dipertimbangkan.

PRN di enam negeri akan berlangsung serentak pada 12 Ogos depan, membabitkan keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka akan dipertandingkan nanti.

Berita Harian X