Sebahagian ahli politik diterima massa kerana keceluparan seperti terlihat dalam ceramah politik penuh emosi disambut sorak-sorai. Malah, hantaran berapi mereka di media sosial turut disukai dan dikongsi berjuta kali penggemar mereka hingga keceluparan sebegini dianggap biasa dan semakin dinormalisasi.
Ahli politik ini mungkin diangkat sebagai 'wira' kerana keceluparan dikatakan sebagai simbol kekuatan dan keberanian. Mungkin juga mereka bersifat demagogik, iaitu menggunakan pertikaian bersandarkan emosi semata-mata, tanpa menghiraukan fakta dan logik.
Mungkin keceluparan ini juga bersifat katartik atau luahan kekecewaan terhadap situasi kehidupan dilalui hingga melepaskan keletihan dalam menghadapi pelbagai tekanan kehidupan terutama dari segi ekonomi dan sosial.
Tidak dinafikan, keceluparan sebegini digunakan untuk mengalih perhatian umum daripada ketidakupayaan ahli politik serta hal tidak baik. Apabila masyarakat lebih mudah terhibur dengan keceluparan itu, mereka juga lebih cenderung meminggirkan kelemahan dan kekurangan ahli politik terbabit.
Dapat sambutan penyokong
Ada pula penyokong menyatakan keceluparan sebegini mendapat sambutan kerana ahli politik bercakap dalam 'bahasa mereka', iaitu gaya bahasa digunakan sehari-hari di negeri hingga menyebabkan lebih dekat dan mudah diterima.
Sebenarnya, keceluparan bukan hal baharu dalam politik dunia. Contoh paling jelas ialah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terkenal kerana mudahnya menggunakan kata seru dan kata-kata kasar secara terbuka menerusi pelbagai ucapan serta temu bual rasmi.
Trump juga tidak segan-segan memanggil musuh politik beliau dengan pelbagai gelaran memalukan. Tanpa mengira betapa Trump celupar, rasis, seksis dan penuh skandal, penyokongnya masih taasub hingga kini. Malah, menurut kajian Pew Research Center pada 2017 ketika Trump masih di Rumah Putih, penyokongnya menyatakan mereka menggemari personaliti terbabit, bukan dasar pentadbiran beliau.
Ini bukan perdebatan mengenai betul atau salah cara berpolitik sebegini. Ia juga bukan berkenaan sama ada ahli politik sebegini layak disokong atau tidak. Semua orang mempunyai pandangan politik masing-masing dan patut dihormati.
Namun, jangan lupa kita masih memiliki agama. Mana-mana agama, terlebih lagi Islam, menganjurkan penganutnya berkata-kata hal baik dan sopan. Malah, sebuah hadis juga menyatakan Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak. Kita juga mempunyai Rukun Negara yang menekankan aspek 'Kesopanan dan Kesusilaan'.
Hakikatnya, alangkah beruntung kepada pendengar jika ucapan politik lebih memfokuskan idea bernas dan progresif serta bagaimana menjadikan negara kita lebih baik dan disegani.
Ini tentunya lebih baik daripada hanya menghiburkan pendengar dengan celoteh kasar dan terkesan biadab. Perkara itu mungkin akan mengundang hilai tawa dan sorakan penyokong, tetapi adakah ia bakal memberikan kesan nyata dan berterusan kepada mereka, bahkan menjadikan kehidupan mereka lebih baik dan sejahtera?