KUALA LUMPUR: Wartawan sambilan atau 'stringer' yang bekerja bawah 'Contract for Service', layak mendapatkan perlindungan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan, hari ini, pihaknya telah memperkenalkan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk orang bekerja sendiri, melalui Akta 789 dan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.
"Wartawan termasuk 'stringer' yang berstatus sambilan dengan mana-mana organisasi dan syarikat media, layak mendapat perlindungan SKSPS, di mana caruman kepada skim ini adalah secara sukarela.
"SKSPS memberi perlindungan kepada golongan bekerja sendiri, daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan ketika menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.
"Melalui SKSPS, PERKESO menyediakan empat Pelan Caruman mengikut pilihan masing-masing, dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan," menurut kenyataan itu.
Menerusi SKSPS, ia menyediakan manfaat seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pinjaman Pendidikan.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital akan mengadakan perbincangan dengan PERKESO dan pihak terbabit berhubung caruman untuk 'stringer' atau wartawan sambilan.
Ia susulan kunjungan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, ke atas wartawan sambilan, Ng Kan Seng yang pernah bekerja dengan beberapa organisasi media tetapi kini uzur dan terpaksa menjaga seorang abang yang juga orang kurang upaya (OKU).
Menjelaskan lanjut, PERKESO memaklumkan bagi wartawan sambilan bawah 'Contract for Service', mereka layak menerima insentif Belanjawan 2023, iaitu SPS Padanan Caruman bagi caruman SKSPS bawah kategori SPS Usahawanita 2.0 untuk wartawan sambilan wanita serta kategori SPS Servis bagi wartawan sambilan lelaki dan wanita.
"Bagi meringankan beban individu bekerja sendiri, kerajaan menerusi SPS Padanan Caruman juga membiayai 80 peratus daripada bayaran caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 iaitu sebanyak RM186.20, manakala individu bekerja sendiri hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60 untuk mencukupkan bayaran Pelan 2 Caruman SKSPS bernilai RM232.80 bagi perlindungan selama 12 bulan.
"Bagaimanapun hingga kini, hanya kira-kira 666,000 individu bekerja sendiri di seluruh negara dilindungi SKSPS berbanding lebih 2.9 juta orang bekerja sendiri di negara ini.
"Justeru, PERKESO amat prihatin kepada mereka yang masih belum dilindungi SKSPS, kerana kebajikan mereka dan keluarga tidak dapat dibela PERKESO sekiranya mereka terbabit kemalangan, mengalami penyakit khidmat ataupun meninggal dunia yang berkaitan dengan aktiviti pekerjaan sendiri.
"PERKESO komited melindungi golongan media yang layak kerana pengamal media memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menyebar luas agenda pemerkasaan perlindungan keselamatan sosial di negara ini," menurut kenyataan itu lagi.