KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) meminta kerajaan bersikap telus dengan mendedahkan agihan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.
Sambil menyifatkan kini adalah masa terbaik melaksanakan perubahan itu, IDEAS berkata, langkah itu juga disifatkan perlu bagi memastikan ia dibuat secara saksama dan bertanggungjawab dalam kalangan Ahli Parlimen.
IDEAS berkata, pihaknya menghargai pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menyokong terhadap usaha menginstitusikan peruntukan CDF.
Mereka juga turut mengambil maklum wujud gesaan parti politik yang berbeza daripada kedua-dua belah pihak untuk memastikan bahawa CDF diperuntukkan secara saksama.
"Isu utama dikenal pasti pihak berbeza termasuk pemusatan kuasa kepada Eksekutif dalam memutuskan peruntukan CDF. Eksploitasi CDF terhadap parti pembangkang oleh kerajaan yang memerintah dan kelegapan pengagihan serta penggunaan CDF di kawasan pilihan raya.
"Pada Mac 2021, IDEAS dan BERSIH menerbitkan secara bersama kertas dasar bertajuk "Removal or Reform: Charting the Way Forward for Malaysia's Constituency Development Funds" yang menyatakan bahawa matlamat langsung adalah mewujudkan CDF yang telus diagihkan secara saksama dan bertanggungjawab dalam kalangan Ahli Parlimen," katanya IDEAS menerusi satu kenyataan hari ini.
IDEAS berkata, antara cadangan dikemukakan pihak terbabit termasuklah agihan CDF yang saksama kepada setiap Ahli Parlimen.
Katanya, jika peruntukan berbeza hendak diberikan, kerajaan perlu mendedahkan formula agihan dan jumlah tepat yang akan diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen, selain mendedahkan jumlah diperuntukkan untuk agihan CDF pada permulaan tahun Belanjawan.
"Selain itu, menamakan peruntukan dengan betul dalam dokumen kerajaan yang berkaitan, terutamanya dalam dokumen Belanjawan yang tersedia secara umum seperti "Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan."
"Jika sumber peruntukan datang daripada Belanjawan beberapa kementerian, sumbernya hendaklah dinyatakan dengan jelas, selain mewujudkan platform memudahkan penyelarasan di antara agensi yang bertanggungjawab untuk pengagihan CDF Persekutuan dan negeri. Ini termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di peringkat persekutuan dan Pejabat Daerah di peringkat negeri.
"Selain itu, menghendaki semua Ahli Parlimen melaporkan secara terbuka penggunaan peruntukan masing-masing," katanya.
IDEAS berkata, dalam beberapa tahun akan datang, pihaknya dengan kerjasama BERSIH dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan berusaha melakukan sesi libat urus dengan kerajaan negeri untuk mendesak satu enakmen yang akan memastikan kesaksamaan dan ketelusan dalam peruntukan CDF di peringkat negeri.
Katanya, mereka juga sudah merangka Rang Undang-undang CDF secara bersama yang akan digunakan sebagai asas untuk perbincangan dengan pihak berkepentingan di seluruh negeri yang berbeza.
"Beberapa cadangan dalam Rang Undang-undang CDF yang kami cadangkan termasuk peruntukan dana yang saksama kepada semua kawasan pilihan raya merentasi parti, formula peruntukan yang dipersetujui, serta semak dan imbang.
"Pengagihan dan penggunaan peruntukan perlu diterbitkan dan terbuka untuk penelitian umum. Kami akan mengadakan libat urus bersama ahli politik dan orang ramai dalam beberapa bulan akan datang dan tidak sabar untuk menerima input untuk merangka undang-undang yang boleh dilaksanakan untuk CDF," katanya.
IDEAS berkata, pada akhirnya perlu ada kesediaan di pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menginstitusikan peruntukan yang saksama dan telus untuk semua wakil rakyat.