KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 27 Julai ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, bagaimanapun berkata lokasi pengumuman calon akan dimaklumkan nanti.
Katanya, setiap calon yang terpilih adalah hasil kajian awal pilihan raya yang dikemukakan di peringkat akar umbi.
Katanya, sebanyak 50 peratus muka baharu akan diperkenalkan dan kesemua calon yang dipilih adalah yang mampu memenuhi hasrat pengundi di setiap kawasan bertanding.
"Badan Perhubungan PN Kelantan sudah selesai membuat tapisan senarai calon yang mana sebanyak 39 kerusi akan dipertandingkan di bawah PAS, manakala, selebihnya iaitu enam kerusi untuk BERSATU.
"Enam kerusi BERSATU ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Gual Ipoh, Paloh serta Nenggiri dan Air Lanas. Selain itu, satu lagi kerusi masih belum diputuskan sama ada di Kuala Balah atau Bukit Bunga, juga dalam Parlimen Jeli.
"PAS sendiri mementingkan imej bersih serta personaliti calon yang terbaik selain bakal memperkenalkan anak muda yang mendapat pendidikan bukan sahaja dari dalam tetapi juga luar negara," katanya dalam sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha BERSATU Kelantan, Ahmad Nas Ruddin Abdullah, Setiausaha GERAKAN Kelantan, Gan Thuan Bun dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud
Wan Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, berkata PN turut memperkenalkan tema PRN kali ini iaitu 'Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera' sama seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Manifesto pula akan dilancarkan pada 31 Julai, yang mana akan menawarkan pelbagai program baharu kepada rakyat Kelantan sejajar dengan tema yang dipilih.
"Berkenaan dengan calon wanita, kita akan pastikan jumlahnya kekal seperti sedia ada dan berkemungkinan lebih daripada jumlah itu bergantung kepada pengumuman nanti," katanya
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir di Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada 21 Julai.
Menurutnya, PN menerima secara terbuka sokongan daripada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi untuk menyokong PN pada PRN nanti.