Ahad, 16 Julai 2023 | 1:47pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim (kiri) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin diminta menyatakan komitmen bagi merundingkan perjanjian damai di antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) pasca PRN. - NSTP/ARKIB
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim (kiri) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin diminta menyatakan komitmen bagi merundingkan perjanjian damai di antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) pasca PRN. - NSTP/ARKIB

Kerajaan Perpaduan, PN digesa tandatangan perjanjian damai

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan dan blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) digesa menandatangani perjanjian damai bagi memastikan kestabilan politik negara dan keyakinan pasaran sejurus Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir 12 Ogos ini, tanpa mengira apa juga keputusannya.

Langkah itu sama seperti Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021.

Mengemukakan gesaan berkenaan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan, MoU dimeterai kerajaan dan pembangkang pada 2021 itu bukan saja membolehkan kestabilan politik selama 13 bulan, malah berjaya meluluskan akta antilompat parti dan beberapa reformasi Parlimen.

Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditunjangi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia turut disokong Ahli Parlimen mewakili parti atau gabungan parti politik seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.

PN pula yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggotai parti komponen teras, iaitu BERSATU yang Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selain PAS dan GERAKAN.

"Perjanjian seumpama itu berupaya mengetepikan perbincangan mengenai sebarang perubahan kerajaan pada pertengahan penggal yang hanya menjejaskan kestabilan politik dan keyakinan pasaran.

"Justeru, kerajaan pimpinan Anwar dan Ketua Pembangkang boleh menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan perjanjian damai pasca PRN," menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut BERSIH, perjanjian damai itu juga boleh meyakinkan pengundi di enam negeri bakal melangsungkan PRN, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan mengenai kesepakatan kedua-dua pihak dalam menangani kelesuan rakyat terhadap politik.

"Kelesuan dan apati terhadap politik mencengkam ramai pengundi, menyebabkan jumlah keluar mengundi rendah. Kesepatan ini bukan saja untuk rakyat di enam negeri itu, tetapi juga kepada semua dan pelabur domestik serta asing.

"Ia menunjukkan bahawa Malaysia akan menumpukan usaha pemulihan semula ekonomi, sekali gus menafikan desas-desus akan ada perubahan kerajaan pada pertengahan penggal yang menyebabkan keraguan terhadap kestabilan politik dan keyakinan pasaran," katanya.

Bagi membina asas dan kepercayaan, BERSIH menyarankan Kerajaan Perpaduan dan blok pembangkang mempertimbangkan khidmat kepemimpinan Parlimen, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Tan Sri Wan Junaidi menyelia pelaksanaan reformasi penting seperti undang-undang antilompat di bawah MOU (pada 2021). Pada masa sama, Parlimen perlu memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mampan sehingga 2027.

"Usaha itu memerlukan pemerkasaan Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan sebagai pertukaran dengan janji pembangkang untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan,"menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenan yang ditubuh bagi memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil.

Tegas BERSIH, keputusan pilihan raya perlu dihormati dan pembentukan kerajaan perlu selari dengan padang permainan politik rata yang memberikan ruang kepada pembangkang untuk bersaing secara konstruktif dan profesional.

"Hanya ketika itu kerajaan dan pembangkang dapat bersaing dalam isu dasar dan tatakelola, bukannya terus bermain politik identiti seperti kaum, agama dan raja (3R)," katanya lagi.

BERSIH turut mengusulkan perjanjian damai itu memasukkan 10 penjajaran politik dan reformasi institusi, antaranya Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) supaya Parlimen ke-15 yang mempunyai mandat sehingga 18 Disember 2027 dan SPR dapat mengumumkan awal tarikh pilihan raya.

"Melalui langkah itu, permohonan pembubaran awal hanya boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri dalam dua keadaan, iaitu jika kerajaan hilang majoriti atau usul pembubaran diluluskan oleh majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menahan keizinan pembubaran awal, hal ini akan memberikan lebih kestabilan dan kebolehramalan politik untuk membina keyakinan rakyat dan pasaran," katanya.

Penjajaran lain, berkaitan pengkanunan peruntukan dan proses untuk mekanisme kepercayaan Parlimen, termasuk undi percaya pengabsahan serta pindaan peraturan mesyuarat kedua-dua dewan bagi memperkasa Ahli Parlimen.

Selain itu, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan Parlimen lebih mandiri dengan mempunyai belanjawan sendiri untuk membiayai kakitangan, jabatan penyelidikan, jawatankuasa pilihan, malah pusat khidmat untuk ahli, iaitu antara reformasi dalam MOU 2021 yang belum terlaksana.

BERSIH juga mengusulkan pengiktirafan Kabinet bayangan oleh pihak pembangkang dengan diberi peruntukan mencukupi untuk membayangi menteri, bersama akses kepada maklumat yang berpatutan supaya dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang konstruktif.

Penjajaran keenam ialah mewujudkan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan layanan sama rata kepada Ahli Parlimen tanpa mengira parti, yang turut disaran diperluaskan ke negeri, diikuti Akta Pembiayaan Politik bagi mencegah politik wang dan rasuah.

"Perkara kelapan, pemerkasaan Dewan Negara sebagai penjaga hak negeri bersama wakil rakyat dan satu pertiga kuasa veto untuk Sarawak, Sabah dan Labuan. Seterusnya, reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri," katanya.

Turut diusulkan, penubuhan Pejabat Pendakwa Raya yang bebas dan berasingan daripada Peguam Negara dengan fungsi utama sepatutnya sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, selain reformasi SPR agar menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.

Berita Harian X