JELEBU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Chennah, Anthony Loke mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian ketika ditemui di Pekan Titi, Jelebu hari ini.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi yang timbul apabila dikhabarkan beliau akan bertanding di Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan itu berkata, keputusan untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan dibuat selepas menjalankan kaji selidik.
"Kaji selidik mendapati 90 peratus komuniti Cina dan lebih 50 peratus daripada masyarakat Melayu di DUN Chennah mahu saya bertanding di situ sekali gus mempertahankan kerusi DUN terbabit," katanya.
Loke berkata, keputusan untuk bertanding itu membuktikan pemimpin DAP turut mendapat sokongan terutama dikalangan pengundi Melayu.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU-14), Loke berjaya mempertahankan kerusi DUN Chennah yang dimenangi pada PRU ke-13 apabila mengalahkan calon dari Barisan Nasional (BN) dan PAS apabila memperoleh 1,155 majoriti undi.