KUALA NERANG: Kerajaan negeri diminta lebih telus menangani isu penerokaan haram unsur nadir bumi (REE) yang masih berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Gesaan dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, susulan insiden terkini membabitkan penahanan sembilan individu kerana menceroboh kawasan itu bulan lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi penjelasan kepada rakyat terhadap isu itu bagi mengelak timbul pelbagai spekulasi kurang baik terutama tanggapan bahawa kegiatan perlombongan di kawasan berkenaan didalangi pihak tertentu.
Selain persoalan mengenai 'dalang' di sebalik kegiatan itu, katanya isu REE juga semakin parah berikutan berlaku pembongkaran kes pemerdagangan manusia membabitkan warga asing yang bekerja di kawasan itu.
"Saya fikir perkara dikaitkan dengan isu perlombongan ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Kerajaan negeri kena ambil tanggungjawab sama ada perlombongan itu dibuat secara haram atau berlesen.
"Apa sebenarnya yang berlaku? Ia menjadi tanda tanya kepada semua orang. Sampai hari ini tak dapat penyelesaian REE yang berlaku itu.
"Minggu ini saya difahamkan ada dibawa ke mahkamah, ada pekerja asing yang ditahan imigresen kerana masuk secara haram, kita pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika ditemui selepas program Agihan Bakul Makanan Puteri UMNO Kedah di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka di sini, hari ini.
Mahdzir berkata, isu REE menimbulkan tanda tanya termasuk berkaitan syarikat diberikan permit untuk melombong di kawasan hutan simpan itu dan jika, apakah syarikat terbabit memenuhi kriteria untuk melombong.
Semalam media melaporkan, polis membongkar kegiatan pemerdagangan manusia serta kecurian REE di Bukit Enggang susulan tangkapan sembilan individu hujung bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, empat suspek tempatan termasuk seorang wanita ditahan pada 21 Jun lalu, manakala seorang lagi ditahan pada 25 Jun lalu.
Pada Februari lalu, dilaporkan 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki melakukan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang.