Rabu, 12 Julai 2023 | 4:19pm
Anggota penguat kuasa DBKL mengangkat motosikal yang menghalang laluan siar kaki, laluan OKU serta ingkar papan tanda larangan parkir di ibu negara semalam. - Foto ihsan DBKL
Anggota penguat kuasa DBKL mengangkat motosikal yang menghalang laluan siar kaki, laluan OKU serta ingkar papan tanda larangan parkir di ibu negara semalam. - Foto ihsan DBKL

DBKL sita 22 motosikal halang laluan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 22 motosikal kerana menghalang laluan siar kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU) serta ingkar papan tanda larangan parkir di Jalan P Ramlee dan Jalan Ampang tengah hari semalam.

Dalam operasi Tindakan Khas Angkut dan Kompaun Kenderaan Buat Halangan Tempat Awam itu, Pegawai Penguatkuasa dan Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL menyita 22 motosikal sebelum ditunda ke depoh DBKL di Jalan Pahang untuk tindakan lanjut.

DBKL dalam kenyataan di Facebook, berkata menerusi siri tindakan berkala sekitar kawasan tumpuan, mereka turut mengeluarkan 22 notis kompaun kesalahan dan tahanan sementara.

Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

DBKL mengingatkan pengguna jalan raya dan pemilik premis supaya mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan seperti motosikal dan kereta diletakkan di tempat yang sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, dalam satu operasi terhadap peniaga warga asing dan mereka yang membuat halangan awam ketika menjalankan aktiviti perniagaan dilaksanakan di sekitar Wangsa Maju.

DBKL memaklumkan seramai 25 anggota penguat kuasa dan petugas terbabit dalam operasi itu dengan lapan kes sitaan iaitu enam terhadap warga asing dan dua halangan awam diambil.

"Tindakan dilaksanakan di bawah Notis Am UUK 3(1), UUK Perlesenan Penjaja (WPKL) ekoran terdapat aduan ramai penjaja warga asing berniaga di lokasi berkenaan.

"Kawasan operasi meliputi kawasan di sekitar Jalan Danau Saujana dan Desa Setapak.

"Pelbagai barangan disita termasuk meja, kerusi kanopi, dapur, tong gas, payung, tong ais, mesin air batu campur dan kedai," katanya.

Berita Harian X