Selasa, 11 Julai 2023 | 1:44pm
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (kanan) ketika mengadakan tinjauan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. - FOTO BERNAMA
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (kanan) ketika mengadakan tinjauan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. - FOTO BERNAMA

KPKT lulus RM700 juta baik pulih kemudahan awam

BANGI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah meluluskan peruntukan hampir RM700 juta untuk baik pulih dan penambahbaikan infrastruktur asas di sembilan negeri setakat ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata kelulusan peruntukan menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT itu diberi kepada Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka dan Perak.

Katanya, peruntukan besar itu disalurkan dalam tempoh enam bulan beliau menerajui KPKT, bertujuan menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam ke arah memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

"Dalam tempoh enam bulan jelajah Program Sentuhan Kasih KPKT di sembilan negeri, hampir RM700 juta peruntukan diluluskan, termasuk untuk beberapa Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Jelajah ini memberi fokus projek berimpak tinggi yang dekat di hati rakyat seperti naik taraf dan bina semula pasar awam, baik pulih tandas awam, longkang, lampu jalan dan penurapan jalan raya.

"Kita mahu jalan rata, longkang bersih, lampu terang dan tandas bertaraf 'BMW' iaitu bersih, menawan dan wangi," katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Taman Tasik Cempaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Terdahulu, Kor Ming mengumumkan kelulusan peruntukan menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT berjumlah RM8.24 juta kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam.

Katanya, peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan enam projek merangkumi tiga projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur awam serta tiga projek kerja kecemasan di Bangi, Seri Kembangan, Sungai Long, Cheras, Kajang dan Hulu Langat.

Jelasnya, projek pertama membabitkan peruntukan berjumlah RM790,000 kepada MPKj untuk membaiki jalan dan menaik taraf Taman Tasik Cempaka di sini, termasuklah pemasangan papan tanda, meja berkelah, peralatan senaman, bangku taman, tong sampah, membaiki wakaf, memasang perhiasan, membina trek basikal serta kerja naik taraf longkang.

Projek kedua, katanya, adalah bagi MBSJ membaik pulih Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan dengan peruntukan RM300,000.

Kor Ming berkata, projek ketiga adalah bagi MPKj membina dan menyiapkan pejabat pengurusan, tandas awam, tempat pembuangan sampah dan struktur berbumbung bernilai RM650,000 di tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long, Cheras.

"Keempat, kerja kecemasan pembaikan cerun runtuh di kawasan lapang di Taman Sri Raya, Cheras berjumlah RM1.5 juta dilaksanakan MPKj; kelima kerja kecemasan pembaikan cerun di bahagian belakang deretan kediaman Taman Bukit Mewah di Kajang dengan peruntukan RM2 juta.

"Projek keenam adalah untuk kerja kecemasan membaiki runtuhan cerun di belakang rumah Jalan Lagenda 1 di Taman Lagenda, Cheras yang akan dilaksanakan MPKj dengan peruntukan RM3 juta," katanya.

Kor Ming berkata, enam projek itu diharap boleh dilaksanakan secepat mungkin kerana peruntukan boleh diturunkan kepada MPKj dan MBSJ pada bila-bila masa, dan diharap siap selewat-lewatnya menjelang tahun depan.

Beliau memaklumkan, siri jelajah Program Sentuhan Kasih KPKT tidak hanya tertumpu di negeri yang akan melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) semata-mata, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

"Buat masa ini saya belum ada kesempatan untuk ke Sabah dan Sarawak, mungkin selepas PRN," katanya.

Berita Harian X