BANGI: DAP hari ini mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan gabungan politik itu bersih seperti yang dicanang sebelum ini, selepas PAS disabit kesalahan rasuah ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, berkata keputusan Mahkamah Tinggi mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon PAS itu membuktikan hakikat PN sebenarnya tidak bersih seperti yang dilaungkan sepanjang kempen PRU15.
"Saya mahu cabar Perikatan Nasional (PN). Dia (Muhyiddin) kata PN bersih tapi mahkamah tinggi mendapati sebenarnya Ahli Parlimen PAS tak bersih pun.
"Selepas perbicaraan, mahkamah mendapati Ahli Parlimen PAS terbabit dalam kegiatan berunsur rasuah, termasuk membeli undi sehingga kerusi Parlimen Kuala Terengganu dikosongkan.
"Keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa PN sememangnya tidak bersih," katanya pada sidang media pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.
Memetik laporan akhbar Sin Chew hari ini, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mendakwa PN mengamalkan politik wang menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, apabila sanggup membayar orang ramai untuk menghadiri ceramah parti itu di Negeri Sembilan.
"Laporan Sin Chew pagi ini menunjukkan di ceramah PN, ramai yang dibayar untuk hadir. Mereka menemu bual ramai pemuda yang hadir di Seremban dan mereka mengakui dibayar RM100 seorang.
"Jelas PN tidak bersih, tiada wibawa dan jelas jangan bagi mereka terus merosakkan negara dengan memainkan 'sentimen politik dinosaur' seperti sentimen agama dan kaum yang tidak membawa sebarang kebaikan," katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan DAP sudah selesai menjelang hari penamaan calon PRN pada 29 Julai dan hari mengundi 12 Ogos ini, Kor Ming memaklumkan ia akan diumumkan pada tarikh yang 'membawa tuah' untuk parti itu.
"Tidak perlu bimbang, ia akan diumumkan pada waktu yang sesuai. Kita pilih tarikh yang akan 'ong' (tuah) untuk buat pengumuman.
"Ada masa lagi, tapi segalanya berjalan lancar seperti yang diumum Perdana Menteri minggu lalu," katanya.
Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan DAP akan meletakkan calon di semua 48 kerusi DUN yang disandangnya dalam PRN bulan depan, merangkumi 19 kerusi DUN di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (dua).