KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kesesuaian melaksanakan program rehabilitasi berasaskan komuniti sebagai ganti kepada hukuman penjara bagi kesalahan kecil, terutama membabitkan pesalah kali pertama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bagi tujuan itu kerajaan akan menilai kaedah untuk pindaan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.
"Rehabilitasi berasaskan komuniti dan bukannya hukuman penjara bagaimanapun hanya untuk pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah, terutama bagi pesalah kali pertama.
"Ini termasuk kesalahan dadah kecil yang menyumbang 63 peratus daripada banduan di Malaysia," katanya melalui kenyataan media.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang pertama oleh Kerajaan Madani yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Azalina berkata, usaha itu antara dua perkara dalam penelitian kajian pihaknya untuk tempoh tujuh bulan akan datang yang mana satu lagi membabitkan kajian kesesuaian mewujudkan sebuah majlis hukuman untuk meneliti semua hukuman jenayah termasuk berkaitan dadah dalam perundangan Malaysia.
Katanya, melalui usaha itu, kerajaan akan menyediakan garis panduan dan pengurangan hukuman penjara, serta menggalakkan hukuman rehabilitasi dan restoratif dalam undang-undang jenayah Malaysia.
"Saya berharap dapat membentangkan hasil usaha-usaha ini melalui kertas Kabinet secara bersama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persidangan Parlimen pada penghujung 2023," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dalam tempoh enam bulan pertama pemerintahan, Kerajaan Madani telah menghapuskan hukuman mati mandatori antaranya bagi kesalahan berkaitan dadah dan memberi budi bicara kepada kebijaksanaan hakim bagi penentuan hukuman.
Bermula 4 Julai lalu, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Mengulas lanjut, Azalina berkata, adalah penting untuk kerajaan hari ini mengambil langkah segera, menyeluruh dan berkesan memandangkan Laporan Dadah Sedunia 2021 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) menunjukkan unjuran peningkatan 11 peratus dalam kalangan penyalahgunaan dadah di negara membangun menjelang 2023.
Katanya, ia juga melaporkan anggaran 1,097,408 pengguna dadah wujud di negara ini dengan hanya satu daripada lapan yang terbabit menerima rawatan dan rehabilitasi.
Beliau berkata, menangani isu kesesakan di penjara juga perlu menjadi keutamaan hak asasi manusia bagi Kerajaan Madani, memandangkan majoriti tahanan penjara dikaitkan pesalah berkaitan dadah.
"Ahmad Zahid meminta untuk menggunakan pendekatan yang 'membawa perubahan' bagi menyelaraskan usaha oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
"Kami berharap untuk melihat penekanan kepada intervensi perubatan, rawatan dan rehabilitasi dalam menangani isu kebergantungan dadah," katanya.
Pada masa sama, Azalina menyatakan, undang-undang dan penguatkuasaan negara perlu seiring perkembangan semasa, khususnya berkaitan kemajuan dalam pembuatan dadah sintetik yang canggih dan kaedah penyalahgunaan.
"Undang-undang dadah Malaysia sedia ada digubal pada 1950-an, tetapi hari ini budi bicara kehakiman sangat penting dalam menangani penjenayah dadah berasingan daripada penagih dadah. Perlakuan secara individu oleh penagih seperti pengguna pertama dan lain-lain juga perlu diambil kira.
"Budi bicara kehakiman penting dalam memperkenalkan pilihan rehabilitasi dan bukannya hukuman yang menekankan hukuman semata-mata," katanya.