PETALING JAYA: Kegagalan pada sistem automasi yang menyebabkan pintu baraj nombor 14 terbuka sehingga 47 peratus, dikesan antara punca penurunan paras air Sungai Muda, Kedah secara mendadak.
Punca itu adalah hasil penemuan Jawatankuasa Teknikal Khas (JKTK) menerusi laporan yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pengerusi SPAN, Charles Santiago, yang membentangkan laporan itu, berkata masalah pada sistem automasi itu mengakibatkan paras air sungai itu menyusut secara mendadak daripada 1.8 meter kepada 0.67 meter dalam tempoh 11 jam.
Mengimbau insiden sama pada 27 Ogos 2022, beliau berkata, pintu baraj 6 yang dibuka untuk melepaskan air sungai tidak tertutup walaupun isyarat penutupan telah dikeluarkan.
"Ketidakcukupan sistem amaran atau penggera bagi mengesan aras air rendah.
"Pemantauan had paras sungai yang tidak seragam di antara Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
"Justeru, aspek keseragaman adalah mustahak dalam menetapkan tahap amaran khususnya untuk pintu baraj.
"Kita juga mendapati ada kelemahan dari segi koordinasi antara semua pihak yang terbabit terutama sekali pada waktu kecemasan," katanya hari ini.
Sebagai menyelesaikan isu yang timbul, Santiago mengesyorkan tindakan segera perlu diambil antaranya menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Baraj.
Beliau menjelaskan, ia bagi mewujudkan pembabitan kerjasama rentas agensi termasuk badan profesional, akademi dan badan bukan kerajaan termasuk membentuk saluran komunikasi yang efektif untuk semua pihak berkepentingan.
Selain itu, beliau mencadangkan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada merangkumi aspek kawalan banjir, bekalan air dan pertanian, di samping mengubah masa bertugas kepada 24 jam setiap hari.
Menyentuh tindakan jangka masa sederhana pula, Santiago mencadangkan supaya kawasan baraj diwartakan sebagai sasaran penting untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan 24 jam sepanjang tahun.
"Bagi tindakan jangka panjang, SPAN mencadangkan pembentukan Pihak Berkuasa Lembangan Sungai selaras dengan rancangan kerajaan dalam Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040)," katanya.