PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak, sehingga menyebabkan gangguan kepada 678,983 akaun di Kedah dan Pulau Pinang pada Mei lalu, berlaku di luar waktu bekerja selepas jam 5 petang.
Insiden luar jangka itu didapati berlaku pada waktu malam iaitu di luar waktu bertugas kakitangan Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) dan pada hari bercuti kakitangan terbabit.
Itu antara hasil penemuan Jawatankuasa Teknikal Khas (JKTK) SPAN bersabit insiden gangguan bekalan air di dua negeri itu.
Anggota SPAN yang juga ahli JKTK, Datuk Ir Mohd Azmi Ismail, berkata tahap pemantauan yang lemah kakitangan Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) dikenal pasti mendorong berlaku masalah teknikal terhadap baraj atau pintu air di sungai terbabit.
"Baraj di situ (Sungai Muda) untuk kawal aliran sungai berkenaan jika aliran tinggi dan untuk kawal banjir. Ketika kejadian pada 13 Mei (lalu) jam 10 malam, tiba-tiba (paras) air mula menurun.
"(Baraj kelolaan) PLSM merekodkan 1.85 meter terus menurun pada 14 Mei lalu kepada 0.7 meter. Ia berlaku di satu daripada 14 baraj. Satu daripada (baraj) terbuka dengan sendiri kerana berlaku masalah teknikal.
"Sepatutnya ada arahan menutup baraj oleh unit pemantauan baraj dan ia sepatutnya dibuka tetapi ditutup kerana masalah teknikal. Ia mengakibatkan air terus menurun sebegitu rupa dan tinggal (hanya) 0.5 meter," katanya ketika membentangkan hasil penemuan JKTK di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi SPAN, Charles Santiago dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.
Berdasarkan laporan yang diedarkan kepada media, terdapat 14 baraj di bawah penyeliaan PLSM yang digunakan bagi mengawal pelepasan air ketika paras air sungai tinggi.
Dapatan sama mendedahkan, jadual kerja kakitangan PLSM pada musim kering dan musim campuran antara kering dan hujan adalah hanya dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, bermula Ahad hingga Khamis.
Ketika musim hujan pula, jadual kerja kakitangan PLSM adalah 24 jam.
Insiden luar jangka itu didapati berlaku pada waktu malam iaitu di luar waktu bertugas dan pada hari bercuti kakitangan PLSM.
Sehubungan itu, Mohd Azmi mengesyorkan agar tindakan segera diambil untuk menangani isu baraj di Sungai Muda dengan menaiktaraf segala sistem di kemudahan itu.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan satu sistem berteknologi tinggi dan baharu di kemudahan itu dan ia mesti dikelola pegawai yang cekap di PLSM.
"Ia bagi menggantikan semua sistem dan peralatan yang mengalami kerosakan, selain mengganti sistem kawalan serta pemantauan kepada sistem dan teknologi terkini.
"Satu baraj lama bersebelah dengan baraj PLSM yang diberi kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak berfungsi dan ia menjadi struktur risiko kepada kita.
"Jadi apa yang berlaku kepada baraj tidak berfungsi itu, kita tidak ada apa-apa perlindungan untuk pertanian dan tebatan banjir.
"Jadi, kita tekankan tindakan segera perlu diambil untuk sama ada menghentikan terus baraj (di sebelah) Pulau Pinang atau ada cara lain supaya ia tidak memberi risiko kepada pengguna," katanya.