Ahad, 9 Julai 2023 | 4:49pm
Pemerhati rasuah menyifatkan cadangan PAS menyediakan bas percuma kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi pada PRN 12 Ogos ini menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - Foto hiasan NSTP
Pemerhati rasuah menyifatkan cadangan PAS menyediakan bas percuma kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi pada PRN 12 Ogos ini menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - Foto hiasan NSTP

'Sediakan bas kepada pelajar IPT balik undi, langgar akta'

KUALA LUMPUR: Pemerhati rasuah menyifatkan cadangan PAS menyediakan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed menegaskan cadangan yang diutarakan parti politik terbabit adalah tidak wajar selain tidak elok untuk dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan parti politik dan calon masing-masing supaya lebih peka dan sensitif dengan isu yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan termasuk membatalkan keputusan pilihan raya nanti.

"Selain menyalahi akta, tindakan sedemikian juga boleh mencetuskan pelbagai spekulasi dan dilihat sebagai adanya unsur dorongan untuk menambat hati pengundi bagi penyokong parti tertentu.

"Perkara seperti ini sudah lama berlaku dan sepatutnya ahli politik ambil iktibar dan tidak melakukan kesalahan yang sama dalam setiap pilihan raya.

"Jadi, parti dan calon perlu memahami setiap akta serta peraturan pilihan raya yang sedang berkuat kuasa selain perlu elak untuk melanggarnya," katanya kepada BH hari ini.

Penganalisis Rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed.
Penganalisis Rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed.

Ia sebagai reaksi kepada kenyataan PAS yang mencadangkan semua enam negeri terbabit dengan PRN menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan mereka pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

BH semalam melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah kerajaan Kelantan itu, sewajarnya menjadi ikutan negeri lain bagi meningkatkan peratus keluar mengundi.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, penyediaan bas percuma bukan sesuatu berunsurkan sogokan sebaliknya ia disediakan terbuka kepada semua anak Kelantan di IPT tanpa mengira parti kerana mahu membantu mereka menjalankan tanggungjawab mengundi.

Mengulas lanjut, Noor Mohamad berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau rapat setiap 'gerak-geri' semua parti dan calon yang bakal bertanding.

Jika didapati melanggar peraturan, beliau berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak berkenaan.

"Pesanan kepada semua parti dan calon, bertandinglah dengan amanah dan jujur serta mengamalkan nilai integriti yang tinggi.

"Pengundi semakin celik dan sudah bijak menilai antara kaca dan permata, serta boleh menilai mana perbuatan yang dilabelkan sebagai rasuah," katanya.

Berita Harian X