Ahad, 9 Julai 2023 | 4:34pm

DAP tiada kuasa campur tangan minta MCA, MIC tak tanding

KULAI: DAP tidak pernah meminta MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos ini.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata DAP tiada kuasa untuk berbuat demikian kerana segala perbincangan berhubung kerusi yang dipertandingkan hanya dibincangkan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Katanya, menerusi Kerajaan Perpaduan, perbincangan tidak dibuat terus antara DAP dengan MCA atau MIC.

"Tidak timbul isu perebutan kerusi memandangkan pembahagian kerusi adalah berdasarkan parti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terus bertanding di kerusi berkenaan (yang menang).

"DAP tidak mempunyai maklumat terperinci di sebalik keputusan itu (MCA dan MIC tidak tanding) sebaliknya menghormati keputusan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

"Walaupun mereka (MCA dan MIC) umum untuk tidak bertanding pada PRN di enam negeri tersebut, kita berharap mereka dapat mendukung semangat Kerajaan Perpaduan dengan menyokong mana-mana calon parti yang bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Indahpura, Kulai, di sini hari ini.

Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP Johor memaklumkan keputusan MCA dan MIC tidak boleh dikatakan laluan mudah kepada DAP.

Katanya ini kerana mereka kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan bukan sebagai lawan seperti PRU15 lalu.

"Dulu kita bertanding sebagai lawan, tetapi sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan. Jika mereka bertanding sekali pun, mereka tidak akan bertanding di kerusi DAP.

"Jadi saya tidak rasa keputusan mereka untuk tidak bertanding pada PRN ini memberi laluan mudah atau kelebihan kepada DAP.

"Kami tidak akan bertembung, sekiranya ada wakil BN tiada wakil PH, begitu juga sebaliknya. Jika tidak bertanding itu harap mereka beri semangat dengan membantu satu sama lain," katanya.

Rabu lalu, MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding di dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X