Ahad, 9 Julai 2023 | 12:54pm
Foto hiasan. - BERNAMA/ARKIB
Foto hiasan. - BERNAMA/ARKIB

Bagaimana peluang PAS di PRN enam negeri

KUALA LUMPUR: Secara tradisi, hanya Kelantan dianggap sebagai kubu kuat PAS yang mentadbir negeri berkenaan sejak 33 tahun lalu selepas merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Kelapan (PRU8) pada 1990.

Selama tempoh 33 tahun berkenaan dan bertahun-tahun sebelum 1990, Kelantan yang pernah ditadbir BN selama 16 tahun sejak 1974, memang menyajikan medan pertembungan sengit antara kedua-dua parti.

Sebelum pembubaran DUN pada 22 Jun lalu, PAS menyandang 37 kerusi, manakala musuh tradisi, BN pula memiliki tujuh kerusi selepas hilang satu kerusi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai BERSATU selepas PRU14.

Selain negeri Serambi Mekah, PAS juga menguasai Terengganu dan Kedah dengan keseluruhan kerusi DUN disandang parti itu di tiga negeri dengan populasi majoriti penduduk Melayu berjumlah 74 daripada 91 kerusi yang ditandingi lima tahun lalu.

Secara keseluruhan, jumlah DUN disandang PAS di enam negeri yang akan mengadakan PRN bulan depan, termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, berjumlah 76 kerusi dan parti itu berhasrat menguasai hampir separuh lagi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengesahkan parti itu akan bertanding 126 daripada keseluruhan 245 kerusi DUN pada PRN enam negeri nanti, bermakna tambahan 50 lagi kerusi kepada 76 yang disandangnya.

Matlamat utama PAS pasti mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan agihan kerusi di setiap enam negeri juga menunjukkan parti itu mahu menggunakan peluang kerjasama dengan BERSATU untuk kembali relevan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Di Kelantan, PAS akan meletakkan jumlah calon paling ramai, iaitu di 39 daripada 45 DUN, pertambahan dua kerusi berbanding 37 disandangnya. Difahamkan, dua kerusi tambahan bakal ditandingi PAS itu kini disandang BN di Parlimen Jeli dan Gua Musang.

Dalam rundingan awal, PAS dikhabarkan bersetuju dengan 37 kerusi, lapan lagi ditandingi BERSATU, parti komponennya dalam Perikatan Nasional (PN). Namun PAS dikatakan memohon dua lagi kerusi daripada sekutunya itu kerana mahu satu daripada DUN di dua Parlimen berkenaan diwakili wakilnya.

Tambahan dua kerusi kepada PAS itu juga kerana BERSATU diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Jeli dan Gua Musang pada PRU15, November lalu.

Rekod cemerlang PRU15

Berdasarkan rekod pemerintahan di Kelantan selama 33 tahun serta keputusan cemerlang menang 14-0 dalam PRU15 yang mempertandingkan kerusi Parlimen, PAS dilihat tidak akan menghadapi masalah besar mempertahankan negeri itu, kecuali perlu berusaha keras untuk merampas dua kerusi milik BN.

Di Terengganu, PAS sahkan akan bertanding 27 daripada 32 kerusi DUN, termasuk mempertahankan 22 kerusi dimenangi pada PRU14. Difahamkan, lima kerusi tambahan mahu dirampas adalah Kuala Besut, Batu Rakit, Bukit Besi, Seberang Takir dan Hulu Besut yang disandang BN.

Daripada lima kerusi itu, PAS dilihat berpotensi merampas tiga DUN dengan calon BN hanya menang majoriti kecil bawah 300 undi pada PRU14, iaitu Batu Rakit dengan majoriti 299 undi, Kuala Besut (143) dan Bukit Besi (46).

Menariknya, PAS dikatakan bakal meletakkan seorang calon wanita di Terengganu, calon wanita pertama mewakili parti itu di negeri berkenaan dalam tempoh lebih 60 tahun. Kali terakhir PAS meletakkan calon wanita bertanding pilihan raya DUN di Terengganu adalah pada 1959.

Di Kedah, PAS dikatakan bakal meletak calon di 25 daripada 36 kerusi dalam misi mengekalkan pentadbiran di negeri itu. Sasarannya merampas kerusi dimenangi Parti Amanah Negara (AMANAH) pada PRU14, iaitu Kubang Rotan, Pengkalan Kundur, Alor Mengkudu dan Kota Siputeh.

Lima tahun lalu, PAS menang 15 kerusi DUN di Kedah, namun hanya 14 kerusi difahamkan akan dipertahankan parti itu pada PRN bulan depan, manakala satu kerusi lagi, DUN Bayu dipercayai diserahkan kepada BERSATU.

PAS juga difahamkan bakal meletakkan calon di kerusi disandang PH dan BN, antaranya Derga, Anak Bukit, Jitra, Kulim dan Bandar Baharu.

Di Selangor, hasil rundingan dengan BERSATU dan GERAKAN, PAS dikatakan memperoleh 19 kerusi dengan fokus parti itu adalah kawasan DUN yang pernah dimenanginya sebelum ini, khususnya pada PRU12, 15 tahun lalu.

PAS pasti mahu kembali menguasai Sijangkang, DUN dalam Parlimen Kuala Langat yang pernah dikuasainya selama tiga penggal berturut-turut menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

DUN Sijangkang juga satu-satunya kerusi dimenangi PAS pada PRU14, menunjukkan realiti kekuatan sebenar parti itu di Selangor berbanding menang 15 kerusi pada PRU13 ketika masih bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

Beberapa kerusi lain yang disebut-sebut bakal ditandingi PAS pada PRN kali ini ialah Morib, Selat Klang, Meru, Seri Serdang, Gombak Setia, Hulu Kelang, Sabak, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua, Paya Jaras dan Batu Tiga.

Di Negeri Sembilan, PAS dijangka meletakkan calon di 13 daripada 36 kerusi, namun dilihat berdepan tugas berat jika diambil kira rekod buruk parti itu dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Kali terakhir PAS menang kerusi DUN di Negeri Sembilan 15 tahun lalu pada PRU12, di mana calonnya ketika itu, Mohamad Taufek Abd Ghani menang di Paroi dengan majoriti 1,107 undi - Mohamad Taufek kini bersama AMANAH.

Peluang untuk PAS kembali bertapak di Negeri Sembilan dilihat tipis, walaupun kini bekerjasama dengan BERSATU, memandangkan parti serpihan UMNO terbabit juga tidak mempunyai pengaruh yang kuat di negeri Adat Perpatih berkenaan.

Baki tiga lagi kerusi daripada keseluruhan 126 kerusi yang bakal ditandingi PAS pada PRN bulan depan difahamkan di Pulau Pinang. Parti itu menyandang satu kerusi dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 1,132 undi, iaitu Penaga.

PAS juga mungkin meletakkan dua lagi calon di kerusi disandang AMANAH, iaitu Permatang Pasir dan Bayan Lepas. Namun, peluangnya juga dilihat sukar berikutan calon AMANAH menang dengan majoriti agak besar pada PRU14, masing-masing 5,245 undi di Bayan Lepas dan 2,981 undi di Permatang Pasir.

Yakin sapu bersih

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjangkakan PAS mampu menyapu bersih semua kerusi DUN ditandinginya di Kelantan dan Terengganu serta mencipta kejutan di Negeri Sembilan pada PRN nanti.

"PAS dijangka tiada masalah menang di kubu kuatnya di Kelantan, termasuk merampas beberapa kerusi BN jika bertanding di kawasan lawannya itu. Keputusan PRU15 menyaksikan PAS merampas kubu kuat BN, antaranya Parlimen Gua Musang yang tidak pernah bertukar tangan lebih 50 tahun.

"Di Terengganu, PAS mungkin berdepan sedikit tentangan kerana situasi politik negeri itu dinamik, di mana pentadbiran kerajaan negeri pernah saling bertukar antara BN dan PAS. Namun, peluang PAS untuk kekal mentadbir Terengganu lebih cerah berbanding BN.

"Masalah dalaman UMNO, di mana pimpinannya berpecah kepada tiga. Jadi, berdasarkan perkembangan politik semasa, saya percaya PAS tiada masalah menyapu bersih semua kerusi ditandingi parti itu di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Mohammad Tawfik juga berpandangan PAS mampu mencipta kejutan dengan menang tiga atau empat kerusi DUN di Negeri Sembilan, khususnya DUN Paroi yang pernah dimenanginya pada 2008, namun parti itu bersama PN dilihat belum mampu merampas negeri berkenaan.

"Situasi di BN di Negeri Sembilan hampir sama seperti Terengganu kerana ada dua 'warlord' UMNO bersaing pengaruh, iaitu Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Seri Mohamad Hasan. Ini berisiko mewujudkan dua kem dan boleh buka peluang untuk PAS menang tiga atau empat kerusi luar bandar," katanya.

Beliau juga percaya PAS akan terus mentadbir Kedah berdasarkan aura Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disenangi rakyat kerana pembawaannya dekat dengan penduduk negeri itu.

Selain itu, Mohammad Tawfik melihat PAS boleh menguasai kerusi DUN di kawasan utara Selangor dalam Parlimen Hulu Selangor, Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Sungai Besar, yang keempat-empatnya dimenangi PN pada PRU15, November lalu.

"PAS hanya menang satu kerusi di Selangor pada PRU14, tapi situasi tidak sama dengan PRU15 dan PRN kali ini. Lima tahun lalu, pertembungan membabitkan tiga parti utama, sedangkan kali ini tertumpu pada PH-BN dan PN yang akan beri lebih peluang PAS menang lebih banyak kerusi," katanya.

Beliau tidak melihat PAS dan PN mampu merampas Pulau Pinang, namun berpotensi menang kerusi majoriti Melayu di Seberang Perai berdasarkan keputusan PRU15 apabila berjaya merampas Parlimen Kepala Batas yang juga kubu kuat BN, selain Permatang Pauh yang sinonim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita Harian X