Ahad, 9 Julai 2023 | 11:09am
Hajiji bersama pemimpin parti bergambar bersama ahli dan penyokong Gagasan Rakyat pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan. - Foto FaceBook Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Sukau
Hajiji bersama pemimpin parti bergambar bersama ahli dan penyokong Gagasan Rakyat pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan. - Foto FaceBook Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Sukau

JPJ setuju plat 'SMJ' khas kenderaan kerajaan Sabah - Hajiji

KINABATANGAN: Singkatan 'SMJ' yang merujuk kepada cogan kata negeri Sabah, Sabah Maju Jaya akan dikhaskan sebagai plat nombor kenderaan kerajaan negeri Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu sudah dipersetujui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, plat nombor SMJ hanya digunakan pada kenderaan milik kerajaan negeri sebagai pengiktirafan terhadap cogan kata Sabah yang turut dijadikan nama pelan pembangunan negeri.

"Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta Kerajaan Negeri Sabah.

"JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah," katanya pada Himpunan Gagasan Rakyat Sukau dan Lamag di Dataran Pekan Sukau, di sini, semalam.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum itu menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap kerajaan negeri.

Beliau berkata, perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang bukan saja tidak wajar, malah tidak menghormati 'Sabah Maju Jaya' sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Sabah.

Katanya, inisiatif kerajaan GRS menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.

"Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya guna itu untuk memartabat cogan kata berkenaan dan memperkasakannya lagi.

"Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ tiada air.

"Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini, niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah," katanya.

Hajiji merujuk kepada sindiran pihak tertentu, khususnya pembangkang yang memperlekeh SMJ dengan mengaitkannya dengan masalah yang banyak dialami di Sabah ketika ini seperti jalan rosak dan gangguan bekalan air.

Katanya, di sebalik kritikan itu pelan pembangunan SMJ yang dilaksanakan sejak kira-kira dua tahun lalu sudah menunjukkan beberapa hasil yang boleh dibanggakan.

Berita Harian X