Ahad, 9 Julai 2023 | 9:31am

"Silap orang pilih nak saman" - Annuar

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mencabar pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mempercepatkan tindakan undang-undang terhadapnya susulan kenyataannya yang mengaitkan pemimpin itu dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Malah, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO, dengan lantang mengulangi kenyataannya mengaitkan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu ketika berucap pada Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat di sini, malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dia tidak gentar dan mempunyai banyak bahan untuk dikemukakan sekiranya disaman.

"Cuma hari ini, bunyi (dengar) kata Lim Kit Siang nak saman ambo (saya), suruh kirim salamlah ke Lim Kit Siang, dia (Kit Siang) silap orang pilih nak saman.

"Ambo (saya) minta Lim Kit Siang percepatkan proses menyaman saya dan saya ada banyak lagi bahan untuk saya kemukakan bila saya disaman, yang itu ceramah banyak lagi nak nyampai ke pilihan raya," katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kit Siang sebelum ini dilaporkan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar yang kini menyertai PAS.

Ini berikutan, dakwaan Annuar yang mengaitkan veteran DAP itu dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Annuar ketika berceramah di Bachok Kelantan mengaitkan Kit Siang dengan insiden 13 Mei 1969 ketika pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun sama.

Annuar (kiri) mencabar Kit Siang percepatkan saman terhadapnya.
Annuar (kiri) mencabar Kit Siang percepatkan saman terhadapnya.
Berita Harian X