BALIK PULAU: DAP akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Setiausaha Agung, Anthony Loke, berkata secara keseluruhan DAP memenangi 48 kerusi DUN di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kerusi DUN berkenaan termasuk 19 di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (2).
"Jumlah kerusi memang tak berubah besar jadi kita akan bertanding di semua (kerusi) penyandang iaitu kerusi yang kita telah menang.
"Soal calon akan diumumkan kelak dan senarai calon saya sendiri masih belum terima pada peringkat negeri," katanya pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2, hari ini.
Mengenai kunjungannya ke Pulau Pinang hari ini, Loke berkata, ia hanya untuk menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Pengangkutan dan tidak dijadualkan menghadiri sebarang mesyuarat bersama pimpinan parti.
"Saya akan datang lagi (ke Pulau Pinang) sebelum hari penamaan calon iaitu ada tiga minggu lagi jadi bila-bila masa akan diumumkan (calon) dalam tiga minggu ini saya akan kerap ke Pulau Pinang," jelasnya.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU14 dengan 12 daripadanya dimenangi PKR selain AMANAH dua kerusi dan empat kerusi BERSATU yang suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada PH.
Selepas BERSATU keluar gabungan PH dan dua ADUN PKR dipecat daripada parti itu dan kemudiannya menyertai BERSATU, empat kerusi tersebut iaitu Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam berada di bawah Perikatan Nasional (PN).
Barisan Nasional (BN) menang dua kerusi iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala PAS mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.
Bagaimanapun, empat ADUN BERSATU itu digugurkan daripada DUN Pulau Pinang selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan mengikut undang-undang antilompat parti.