TAWAU: Seorang lelaki bersama anak saudaranya yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat sini sejak 14 hari lalu ditemukan selamat hari ini.
Mangsa Iwan Musakir, 33, dan Al-Fajri Anto, 11, ditemui seorang pekerja ladang yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kedua-dua mangsa dijumpai kira-kira 7.5 kilometer dari jarak mangsa dikatakan keluar berburu.
Beliau berkata berikutan penemuan itu, SAR ditamatkan kira-kira jam 12.24 tengah hari dan kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
"Syabas kepada pasukan SAR dan semua yang terlibat sepanjang sembilan hari pencarian dijalankan sehingga mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.