Jumaat, 7 Julai 2023 | 3:44pm

AMANAH dakwa REE masih dicuri, MB nafi

ALOR SETAR: Kegiatan mengeluarkan unsur nadir bumi (REE) tanpa prosedur operasi standard (SOP) di kawasan hutan Bukit Enggang, Sik, didakwa masih berlaku di tapak milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) sehingga kini.

Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata penduduk yang tinggal sekitar kaki Bukit Enggang memaklumkan bahawa mereka melihat sendiri kehadiran kenderaan pacuan empat roda (4WD) keluar masuk ke kawasan terbabit terutama pada waktu malam.

Jelasnya, penduduk turut mendakwa terdapat kumpulan pekerja seramai 12 orang tinggal di inap desa berdekatan yang sering berulang alik masuk ke kawasan hutan simpan melalui jalan kampung.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, kita percaya masih berlaku kegiatan penerokaan bagi mengambil REE di sekitar Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, tetapi kini dilakukan di kawasan tapak dimiliki MBI.

"Tapak ini terletak berdekatan Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang yang sebelum ini diserbu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada Oktober 2022 dan Februari lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Ismail berkata, berikutan itu pihaknya menuntut suatu tribunal atau jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan pihak berkuasa bersama kerajaan negeri bagi melihat kembali bagaimana kegiatan itu masih boleh berlaku.

Katanya, selama ini penjelasan yang diberikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kegiatan penerokaan REE termasuk ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) didapati tidak lengkap serta tidak menyeluruh.

"Muhammad Sanusi dilihat sering mengelak memberi jawapan yang tepat mengenai isu sebenar apa yang berlaku di Bukit Enggang sehingga timbul banyak persoalan yang belum dirungkai sehingga hari ini.

"Sudah tiba masanya untuk suatu tribunal melihat kembali apa yang terjadi secara keseluruhan dalam isu REE ini ditubuhkan termasuk dibentangkan hasil siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Dr Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor sengaja membangkitkan kembali isu kegiatan REE itu yang sudah diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini.

"Dia (Dr Ismail) reka cerita sahaja kerana nak memanjangkan isu yang sudah diselesaikan. Kalau dia ada maklumat boleh lapor kepada pihak polis, JPNK atau Pejabat Tanah dan Daerah.

"Setakat ini, tak ada kegiatan berkaitan REE yang dibenarkan beroperasi secara sah di Kedah," katanya ketika dihubungi BH bagi mengulas dakwaan itu.

Februari lalu, media mendedahkan berlaku kegiatan mengorek REE secara tidak sah dilakukan kumpulan warga asing yang berselindung atas kebenaran melakukan kegiatan eksplorasi yang dibenarkan kerajaan negeri kepada syarikat usahasama tempatan dan luar negara.

Berikutan itu, JPNK menyerbu tapak berkenaan dan menahan 52 lelaki warga asing yang disyaki melakukan kegiatan berkenaan dengan 40 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling kerana kesalahan menceroboh hutan pada April lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi dalam kenyataan balasnya ketika itu, menegaskan tiada aktiviti penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, sebaliknya syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen penerokaan untuk mengkaji hasil mineral berkenaan sedang menyediakan laporan penilaian alam sekeliling (EIA).

Katanya, kerajaan negeri tidak akan bertindak sesuka hati dan hanya melakukan aktiviti perlombongan mengikut undang-undang dan SOP daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Berita Harian X