SEREMBAN: Perbincangan mengenai agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dimuktamadkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu berkata, kepemimpinan PH dan BN peringkat negeri bagaimanapun diberi sedikit ruang bagi mengadakan rundingan berpandukan keputusan dicapai beliau bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar yang juga Presiden PKR bagaimanapun enggan mendedahkan komposisi calon mengikut parti yang bakal diketengahkan kedua-dua gabungan berkenaan, menjelaskan perkara itu akan diumumkan kelak.
"Perbincangan bersama Anthony Loke dan Ahmad Zahid nampaknya selesai, tetapi kita masih beri ruang sedikit lagi bagi perbincangan di peringkat negeri. Sudah selesai kalau di peringkat saya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Loke dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.
Sebelum ini, Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lalu, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun serta Negeri Sembilan pada 1 Julai lalu.
Sementara itu, Anwar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama semua gabungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menentukan calon Menteri Besar Negeri Sembilan, jika berjaya menawan semula pentadbiran negeri berkenaan.
Beliau antara lain memaklumkan berpuas hati dengan tahap pencapaian Aminuddin yang mempamerkan rekod baik bagi tatakelola kerajaan negeri.
"Beliau juga berupaya menarik pelaburan dan menjadikan Negeri Sembilan sebagai antara negeri penting bagi pelaburan di luar Lembah Klang, didorong lokasinya yang terletak berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang.
"Bagaimanapun, keputusan akhir akan dibincangkan bersama gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan dan proses berkenaan boleh dimulakan ketika ini.
"Namun, pandangan saya secara peribadi beliau dilihat sebagai calon yang layak bagi jawatan Menteri Besar," katanya.