Rabu, 5 Julai 2023 | 9:01am

Terjemah komitmen atasi bencana air dalam Belanjawan 2024

Tragedi kepala air Jeram Air Putih di Kemaman, Sabtu lalu yang setakat ini meragut 8 nyawa dan 2 lagi hilang boleh dianggap bencana besar di negara ini kerana membabitkan jumlah mangsa ramai. Bagi mereka ada pertalian darah terutama yang rapat, kehilangan seluruh keluarga serentak sebegitu menjadi ujian sangat berat. Kita bersama rakyat di negara ini mengucapkan takziah kepada waris terbabit.

Diakui, kejadian menyayat hati itu berlaku di kawasan terpencil yang tidak dikunjungi penduduk setempat dan kurang diketahui warga luar, tetapi tragedi itu sepatutnya dijadikan loceng penggera untuk mengejutkan pihak berkuasa mengenai sejauh mana usaha keseluruhan dibuat dalam menangani kesan fenomena lazim berlaku di negara ini.

Apatah lagi selepas beberapa insiden sama berlaku seperti di Gunung Suku, Simpang Pulai dan Gunung Inas, Baling pada tahun lalu, pelbagai pihak termasuk pakar alam sekitar menyarankan kerajaan meningkatkan mekanisme pengesanan, pemantauan dan penyampaian amaran kepada masyarakat, tetapi apakah kerajaan sudah melaksanakan dengan tuntas?

Namun, kita melihat masih banyak yang perlu dilakukan kerajaan berdasarkan kekecewaan diluahkan termasuk daripada Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Ahmad Ismail yang menyifatkan mesej amaran insiden kepala air tidak sampai kepada pengunjung, sekali gus menjadi faktor peningkatan tragedi lemas di kawasan berisiko. Beliau turut menegaskan pemetaan kawasan hotspot kepala air perlu dipertingkatkan dan dilakukan secara berkala, bukan hanya bermusim, manakala maklumat itu pula mesti disebarkan secara meluas kepada rakyat.

Kita yakin kemajuan dan kepesatan teknologi, terutama Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya perlu digunakan secara optimum untuk memastikan ramalan, pemantauan serta pengesanan fenomena seperti kepala air dapat dibuat pada masa sebenar, manakala mekanisme penyampaian maklumat dan amaran pula dipertingkatkan dan platformnya pula dipelbagaikan.

Justeru, kita mahu melihat kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan keupayaan itu diterjemahkan termasuk dalam Belanjawan 2024 seperti peruntukan dan peningkatan jumlahnya untuk merealisasikan mekanisme pengesanan serta pemantauan kawasan hotspot bukan sahaja untuk fenomena kepala air, bahkan bencana lain membabitkan banjir. Ia menuntut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berserta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi mengepalai agenda penting ini berdasarkan keadaan negara yang terdedah kepada risiko fenomena atau bencana terbabit.

Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan terhadap fenomena serta bencana alam berkaitan air. Oleh itu, kita mahu Kementerian Komunikasi dan Digital melaksanakan kempen berterusan, bukan hanya menggunakan sistem penyampaian milik kerajaan, bahkan bekerjasama dengan media swasta selain mengoptimumkan platform digital.

Berita Harian X