Selasa, 4 Julai 2023 | 12:58pm
ANWAR pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Putrajaya.
ANWAR pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Putrajaya.

Perdana Menteri mahu suara dengar JAKIM dalam Belanjawan, kajian RMK-12

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, fungsi dan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah pentadbirannya yang berlandaskan konsep Malaysia Madani, bukan sekadar jabatan agama.

Perdana Menteri menjelaskan peranan JAKIM sekarang lebih meluas dengan menumpukan pelbagai aspek, bahkan tidak hanya tertumpu soal Islam semata-mata.

Jelasnya, itu adalah pembaharuan dan reformasi institusi yang ditekankan sekali gus berbeza dengan pendekatan sewaktu pentadbiran kerajaan sebelum ini.

"Peruntukan untuk Islam itu ditambah dan kegiatan untuk Islam juga bertambah. Malah JAKIM ini bukan jabatan agama semata-mata.

"Saya sudah minta Ketua Pengarah JAKIM (Datul Hakimah Mohd Yusoff) dan KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali) juga ada bicarakan soal naratif ekonomi, bicarakan soal Belanjawan Madani serta bicarakan dasar pendidikan.

"Itu harus diambil kira dan sekarang, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) turut mengambil kira input daripada JAKIM supaya prinsip dan nilai ini tidak lari.

"Ia bukan dokumen Islam RMK-12 tetapi input (dari JAKIM) itu penting, malah ia berbeza dengan pendekatan lama termasuk dalam kerajaan yang disertai oleh mereka selama 33 bulan.

"Mana ada peranan JAKIM dalam belanjawan (dalam kerajaan terdahulu). Mana ada peranan JAKIM dalam RMK-12. Tidak ada tetapi sekarang ada sebab Malaysia Madani yang mempertahankan soal nilai dan akhlak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian dan Peluncuran buku bertajuk Adab dan Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Turut hadir bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai cara menguruskan perbezaan pendapat yang pada hematnya perlu dikelola dengan tertib.

Menurut Anwar, beliau percaya bukan saja perbezaan pandangan, malah perbezaan mazhab dan idea perlu dihormati sekiranya ia dikupas dengan lebih mendalam.

"Jadi cukup saya katakan, ambil masa baca dan teliti (buku Adab dan Perbezaan Pendapat Islam) kerana kekuatan ini berbeza daripada ceramah-ceramah biasa, berdasarkan al-Quran, hadis dan karya ulama muktabar zaman silam.

"Kerana ini bukan saja soal adab tetapi soal turath, legasi Islamik, karya dan kupasan yang serius mesti berdasarkan karya-karya agung zaman lampau.

"Ini kerana, dalam Malaysia Madani ini kita mahu menekankan soal nilai dan soal akhlak. Kita juga mahu penyertaan orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Berita Harian X