Pilihan raya punya pelbagai petunjuknya, namun yang sering diperkatakan oleh parti bertanding, penganalisis politik dan masyarakat setahun dua kebelakangan ini adalah pengundi muda atau Undi 18.
Pilihan pengundi muda dikatakan penentu mencari pemenang yang bakal membentuk kerajaan. Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), sejauh mana kemampuan parti bertanding menilai 'mood' sebenar pengundi muda, apa faktor mempengaruhi undi mereka dan sejauh mana golongan ini matang dalam memilih pemimpin. Ikuti pandangan Naib Presiden GERAKAN, Ooi Zhi Yi.
Soalan (S): Sejauh mana senario saluran pengundi baharu dan muda dikatakan memihak kepada PN?
Jawapan (J): Ini bergantung kepada sejauh manakah parti politik dan calon berkempen di media sosial. Kebanyakan pengundi muda terutama yang baru hendak mengundi mungkin masih tidak pasti mengenai situasi politik yang sentiasa berubah. Ada pihak dakwa PN memiliki kelebihan jika bersandarkan faktor jangka masa daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 hanya lebih kurang setengah tahun sahaja.
S: Bagaimana peluang PN atau PH/BN dalam meraih sokongan pengundi baharu dan muda?
J: Golongan pengundi baharu dan muda adalah kumpulan yang menjadi sasaran setiap blok parti. Oleh itu, ia akan menjadi satu 'perebutan sengit' untuk meraih undi mereka. Aura dimiliki Perdana Menteri setakat ini dilihat mampu mempengaruhi keputusan pengundi muda pada PRN nanti. Namun, pengundi muda terutama golongan mahasiswa mungkin mengundi berdasarkan pemahaman mereka mengenai maklumat semasa berkaitan kerajaan diterima mereka. Walaupun mereka mungkin mempunyai daya analisis lebih tinggi, lambakan maklumat dalam internet berupaya mengubah pendirian golongan muda ini. Pengaruh Ahmad Zahid juga dijangka menjadi perkiraan pengundi muda. Kita lihat ramai dalam UMNO turut mengkritiknya, semua mungkin diambil kira pengundi muda nanti.
S: Sejauh mana kempen di media sosial mampu tarik sokongan pengundi kepada parti?
J: Media sosial, terutama TikTok dahulu dikuasai penyokong PN, tetapi kini ia turut didominasi penyokong PH dan BN. Media sosial ini 'padang permainan seimbang' untuk semua parti dan calon bertanding. Ia bergantung kepada daya kreativiti dan sejauh mana efektifnya ia dimanipulasi untuk mempengaruhi pemikiran pengundi.
S: MUDA bertanding solo PRN ini, adakah akan beri impak dalam sokongan pengundi muda kepada PN?
J: Saya rasa ia tidak mengubah pendirian pengundi muda kepada PN. Tahap pemahaman dan cara pengundi muda membuat keputusan masih belum matang untuk memilih MUDA menjadi kuasa ketiga yang lebih kuat. Pendedahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai PH enggan bertemu MUDA bagi membincangkan perihal berkaitan PRN juga dilihat tidak akan menjejaskan atau memberi impak besar kepada pola pengundian pemilih muda untuk memilih PN menjadi kerajaan.
S: Adakah pencapaian, dasar diperkenalkan kerajaan negeri terbabit PRN bakal memberikan impak kepada pengundi muda?
J: Ia bergantung kepada kumpulan dan negeri tertentu. Setahu saya, kerajaan di Malaysia tidak kira mana satu pun, membuat dasar yang hanya memihak golongan majoriti. Ia akan memberi impak kepada kumpulan pengundi majoriti atau parti politik kerajaan bagi tujuan meraih undi. Ia juga bergantung kepada sentimen pengundi muda yang akan menilai parti mana mampu memberi jaminan positif kepada masa depan mereka.