Sabtu, 1 Julai 2023 | 3:28pm
Kekecohan terbuka yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, boleh menjejaskan imej serta nama baik negara di mata pelancong luar. - Foto fail NSTP
Kekecohan terbuka yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, boleh menjejaskan imej serta nama baik negara di mata pelancong luar. - Foto fail NSTP

Menteri perlu kemukakan bukti jelas - MCW

KUALA LUMPUR: Individu khususnya mereka berstatus menteri tidak digalakkan bertindak bersendirian dalam aktiviti membanteras rasuah kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah lain, termasuklah kesan kepada imej dan nama baik negara akibat kekecohan secara terbuka.

Timbalan Ketua Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata wajar untuk seorang menteri mengemukakan bukti jelas dengan melaporkan kepada pihak yang berkuasa bagi tindakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, bertindak bersendirian bukan hanya mencetuskan masalah lain malah boleh mengganggu tugas penjawat awam yang amanah.

"Bertindak sendirian seperti ini lebih banyak mencetuskan pelbagai masalah lain, misalnya apa yang sudah berlaku di berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kekecohan terbuka seperti ini boleh menjejaskan imej serta nama baik negara di mata pelancong luar.

"Sudah tentu insiden seperti ini juga boleh mengganggu tugas penjawat awam selain boleh merendahkan tahap motivasi petugas yang melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah.

"Menegur kesalahan orang terutamanya penjawat awam ketika bertugas ada caranya, dan ia perlu dilakukan secara berhemah dan tidak boleh sehingga menjatuhkan air muka di khalayak ramai," katanya.

Semalam, negara dikecohkan dengan laporan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu malah mendakwa, kehadirannya membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Shakil berkata, insiden seperti ini boleh beri mesej kurang baik kepada pelancong dan juga anggota masyarakat terutamanya terhadap tahap imej dan integriti keseluruhan sebuah jabatan kerajaan yang penting seperti ini.

Beliau bagaimanapun, berkata dakwaan rasuah oleh seorang menteri juga adalah tuduhan yang serius dan perlu diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa termasuk JIM sendiri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman.

"Jawatankuasa ini perlu meneliti dan menyiasat dakwaan itu merangkumi beberapa aspek utama secara menyeluruh seperti menyiasat para petugas yang didakwa terbabitrasuah serta menyemak semula prosedur kerja yang sedia ada bagi melihat apakah ada ruang kepincangan yang perlu ditambah baik.

"Umumnya jabatan kerajaan sudah ada prosedur siasatan yang teratur dan sistematik untuk menangani dakwaan seperti ini mahupun sebarang salah laku anggota, jadi kita perlu yakin dengan proses itu dan beri ruang kepada pihak imigresen melakukan siasatan yang sewajarnya," katanya.

Katanya, orang awam juga tidak boleh cepat untuk njatuhkan hukuman dengan tuduhan tidak berasas terhadap semua anggota penguatkuasa kerana, sekiranya tuduhan itu benar sekali pun, iatidak menggambarkan atau mewakili sikap keseluruhan anggota imigresen.

Mohamad Shakil berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dan memuktamadkan apakah ada unsur salah guna kuasa dari menteri serta apakah benar dakwaan anggota Imigresen terlibat rasuah.

"MCW berharap semua pihak boleh ambil iktibar dengan kejadian ini. Benar kita mahu perangi rasuah dan salah guna kuasa, namun biarlah ikut prosedur betul dan beri ruang pihak berkuasa buat kerja mereka ikut tatacara yang betul.

"Untuk keadilan kepada semua pihak yang terbabit selain demi mencari kebenaran di sebalik insiden ini, SPRM boleh segera memulakan siasatan ke atas kedua-dua pihak yakni menteri dan juga anggota JIM," katanya.

Berita Harian X