Sabtu, 1 Julai 2023 | 9:31am

'Gabungan kukuh PH-BN, misi PN seakan mustahil'

Penguasaan mutlak semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini, menjadikan Negeri Sembilan seakan-akan mustahil dapat dirampas Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Dengan pengaruh yang dilihat belum sekukuh UMNO, DAP dan PKR, pemerhati politik berpandangan Negeri Sembilan bakal kekal dikuasai gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Persoalan yang tinggal adalah sama ada blok itu mampu mengekalkan semua kerusi disandangnya ketika ini atau kehilangan beberapa DUN kepada lawan politiknya, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH yang bertanding di bawah logo PKR, unggul menguasai 20 kerusi melalui DAP yang menang sembilan kerusi, lapan oleh PKR dan tiga milik Parti Amanah Negara (AMANAH), BN pula menang 16 kerusi dengan 15 milik UMNO dan satu MIC.

Mengikut demografi, BN melalui UMNO mempunyai kelebihan di kerusi DUN luar bandar seperti di Parlimen Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin, kawasan sama yang turut disasarkan PN melalui BERSATU.

Malah, ada dalam kalangan pemerhati politik beranggapan BN boleh memperkukuhkan semula kedudukannya di Negeri Adat Perpatih ini berpandukan keputusan memberangsangkan dicipta gabungan itu pada PRU15 tahun lalu.

BN melalui UMNO berjaya merampas kembali dua kerusi Parlimen tradisinya, Kuala Pilah dan Tampin yang ditawan BERSATU pada PRU15 tahun lalu. Tiga kerusi Parlimen disandang, iaitu Jelebu, Jempol dan Rembau pula berjaya dipertahankan.

Bagi PH, tiga kubu kuatnya, iaitu Parlimen Seremban dan Rasah yang ditandingi DAP dan Port Dickson diwakili PKR kekal milik gabungan itu melalui kemenangan dengan majoriti cukup besar.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kekal di Parlimen Seremban dengan majoriti 30,841 undi, manakala Cha Kee Chin mengekalkan Parlimen Rasah dengan majoriti 61,897 undi.

PKR juga kekal di Parlimen Port Dickson selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH negeri, mengambil alih kerusi berkenaan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berjaya meraih majoriti 23,601 undi.

Secara tradisi, kubu kuat PH terutama DAP adalah kawasan bandar atau pinggir bandar seperti Seremban, Port Dickson dan Rasah atau di luar bandar yang agak seimbang pengundi Cina dan Melayu seperti DUN Chennah di Jelebu dengan status keputusan PRN nanti dijangka 'status quo'.

Justeru, tumpuan utama pada PRN nanti terarah kepada saingan di antara UMNO dan BERSATU, yang masing-masing berusaha keras memenangi hati pengundi Melayu.

Protes secara senyap

Ada menjangka sebahagian pengundi Melayu, termasuk ahli atau penyokong UMNO sendiri mungkin protes secara senyap dan di atas kertas undi, tanda tidak puas hati kerjasama UMNO dengan DAP.

Itu belum mengambil kira pendirian pengundi muda dan pengundi automatik yang sukar diramal, rata-rata dalam kelompok berkenaan lazimnya dikaitkan sebagai gemar melawan arus atau 'antiestablishment'.

Bukan sesuatu yang mengejutkan andai keputusan PRN nanti menyaksikan BN terutama UMNO hilang sebahagian daripada 16 kerusi yang dimenanginya pada PRU14 kepada PN, khususnya BERSATU.

Bagi PH pula, PN dilihat agak sukar menggugat 20 kerusi disandang parti sekutu Kerajaan Perpaduan itu, apatah lagi jika DAP dicabar GERAKAN yang dilihat seperti 'tidak bergigi' lagi dari pandangan masyarakat Cina.

Menilai prestasi PN terutama BERSATU pada PRU15, jelas sebahagian besar pengundi Melayu di Negeri Sembilan beralih kepada gabungan itu berdasarkan jumlah undi yang mereka perolehi walaupun gagal meraih sebarang kerusi Parlimen.

Keputusan itu pasti menyuntik semangat BERSATU untuk merampas kerusi 'panas', antaranya DUN Sungai Lui yang mengandungi 80 peratus pengundi Melayu, Serting (78 peratus), Palong (92 peratus), Juasseh (80 peratus), Seri Menanti (93 peratus), Senaling (79 peratus), Gemas (80 peratus), Chembong (81 peratus) dan Kota (87 peratus).

Kerusi dimenangi UMNO pada PRU14 dengan majoriti tipis juga dijangka menghadirkan debaran seperti Pertang (415 undi), Seri Menanti (595 undi), Senaling (692 undi), Johol (965 undi), Gemencheh (351 undi) dan Linggi (623 undi).

Bezanya ketika itu, saingan terdekat UMNO di kerusi berkenaan ialah daripada PH, sekutunya kini dalam Kerajaan Perpaduan dan memang sejak dahulu, pemain utama politik di Negeri Sembilan ialah UMNO dan DAP sambil PKR menjadi watak tambahan.

PN yang kecewa pada PRU15 mengharapkan keajaiban 'Gelombang Hijau' untuk menawan Negeri Sembilan, menanam keyakinan boleh mencapai sasaran itu dengan suntikan kehadiran ramai pada kempen ceramahnya.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Pengerusi PN merangkap Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berpandangan sentimen pengundi, khususnya Melayu sudah bertukar arah selepas UMNO bekerjasama dengan DAP.

'Pancing' Khairy

PN juga mengambil kesempatan 'memancing' bekas Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau KJ, namun pengaruh bekas Menteri Kesihatan itu di Negeri Sembilan dilihat belum meluas.

Peluang PN mungkin ada andai pembahagian kerusi dalam gabungan BN-PH berdepan masalah, jika UMNO dan sekutunya, iaitu MIC serta MCA gagal mencapai sepakat dengan DAP, PKR dan AMANAH.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed bagaimanapun melihat hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan mencipta peluang besar untuk gabungan PH dan BN kekal mentadbir Negeri Sembilan.

"Pendirian BN khususnya yang tidak memberi gambaran akan berlaku sebarang perubahan dari segi pendirian perjuangan, memberi kesan positif kepada kesepaduan kedua-dua gabungan besar itu, sekali gus mengecilkan peluang parti-parti lain untuk mencabar.

"Penyertaan Tok Mat (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan) yang dilihat aktif dan positif selaku Menteri Pertahanan juga beri kelebihan kepada BN dan PH untuk membawa cabaran meyakinkan di Negeri Sembilan," katanya.

Bekas Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan itu berkata, biarpun momentum sokongan kepada PN agak kuat pada PRU tahun lalu, gabungan itu dilihat masih sukar menggugat BN-PH dalam mendepani PRN, khususnya di Negeri Sembilan.

"Ia ditambah isu yang membelenggu PN ketika ini, terutama berkait pendanaan politik serta wibawa politik dan pentadbiran (selaku menteri dalam Kabinet lalu) yang dijangka memberi kesan besar terhadap prestasi mereka dalam PRN akan datang.

Berita Harian X