ISU mengenai rokok terus hangat diperkatakan di negara ini dengan lebih banyak pendapat menjurus kepada kebimbangan mereka terhadap kemudaratan merokok.
Bagi mengukur sikap dan persepsi rakyat Malaysia terhadap masalah ini, satu tinjauan baharu berkaitan rokok telah dilaksanakan Philip Morris Malaysia (PMM).
Tinjauan itu juga dijalankan bagi mengumpul pandangan orang ramai berkaitan akses dan pengetahuan mereka terhadap produk alternatif bebas asap.
Hasil tinjauan terbabit mendapati tiga daripada lima rakyat Malaysia bersetuju bahawa perokok tegar perlu memilih alternatif bebas asap sekiranya mereka enggan berhenti merokok.
Ia berikutan, 51 peratus responden menyatakan mereka menyedari produk bebas asap adalah alternatif yang kurang berbahaya berbanding rokok konvensional.
51 peratus responden turut mengakui mereka sudah biasa dengan produk alternatif dan sebanyak 67 peratus responden lagi mendakwa pernah melihat produk seumpama itu digunakan dalam persekitaran mereka.
Perlu maklumat lebih tepat
Walaupun lebih separuh responden menyatakan mereka tahu mengenai kewujudan produk alternatif bebas asap, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi.
Menerusi tinjauan sama, sebanyak 67 peratus responden menyatakan bahawa perokok dewasa berhak untuk mengakses maklumat mengenai alternatif bebas asap.
Ini bagi memastikan perokok yang tidak bercadang untuk berhenti merokok mendapat maklumat lebih tepat mengenai produk alternatif bagi membantu mereka membuat keputusan.
Langkah ini wajar diperhalusi kerana tinjauan itu turut merekodkan sebanyak 55 peratus responden beranggapan vape, e-rokok dan produk tembakau dipanaskan adalah produk yang sama, manakala 59 peratus lagi percaya nikotin menjadi punca utama penyakit berkaitan rokok.
Justeru, jurang pemahaman mengenai perbezaan produk alternatif bebas asap dan maklumat yang tepat mengenai nikotin perlu disampaikan dengan jelas kepada perokok.
Produk seperti e-rokok dan vape berbeza dengan produk tembakau dipanaskan di mana e-rokok dan vape memanaskan cecair nikotin berperisa manakala produk tembakau dipanaskan memanaskan tembakau di bawah tahap pembakaran untuk membebaskan wap bernikotin.
Nikotin pula, berdasarkan institusi kesihatan awam terkemuka seperti National Institute of Health Amerika Syarikat, menyebabkan ketagihan tetapi bukan penyebab utama penyakit berkaitan rokok.
Sebaliknya, pembakaran tembakau yang menyebabkan tar dan karbon monoksida terhasil, serta karsinogen dibebaskan adalah penyebab utama penyakit berkaitan rokok.
Sementara itu, tinjauan sama turut mendapati sebanyak 67 peratus responden bersetuju kawal selia berasingan terhadap produk alternatif perlu dilaksanakan jika ia terbukti mampu mengurangkan risiko berbanding rokok konvensional.
Walaupun terdapat pelbagai pandangan yang mungkin mendorong perokok tegar beralih kepada produk alternatif bebas asap, pilihan terbaik untuk kesihatan adalah berhenti merokok.