Kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyerang rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, iaitu Barisan Nasional (BN) bukan sahaja membangkitkan kemarahan pimpinan UMNO, MCA dan MIC, bahkan partinya sendiri apabila Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook menempelak mana-mana pemimpin dengan mengingatkan jika tidak boleh menjaga mulut, usah berucap di atas pentas parti.
Kenyataan sebegini menyukarkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangkakan berlangsung Ogos seperti dikatakan Perdana Menteri sendiri, sekali gus memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN). Pemimpin sebegini perlu ambil pengajaran daripada pepatah 'gajah lalu dibeli, kusa (besi pengendali gajah) tidak terbeli', bermakna dalam mengerjakan sesuatu kerja besar, hal kecil yang perlu menyelesaikan tugas itu tidak boleh dilupakan.
Hakikatnya, PH dan BN memerlukan sokongan ahli serta pengundi masing-masing untuk membentuk bukan sahaja kerajaan Persekutuan, bahkan kerajaan negeri terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan kritikal seperti Selangor, selain keperluan menghantar pembangkang di negeri yang dianggap kubu kuat lawan seperti Kelantan dan Terengganu supaya wujud mekanisme semak dan imbang demi kepentingan serta kebajikan rakyat.
Kita melihat senario ini menunjukkan masih ada pemimpin parti menganggotai Kerajaan Perpaduan masih berkempen seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu semasa belum membentuk persefahaman. Ketika itu, kita buat pertama kali mengalami Parlimen tergantung hingga Yang di-Pertuan Agong menitahkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan supaya negara dan rakyat tidak terheret dalam kemelut berpanjangan.
Berdepan kekuatan Perikatan Nasional (PN) yang memperlihatkan kelebihan besar kepada pengundi berasaskan kaum, setiap pemimpin dalam PH dan BN perlu menjadikan PRN sebagai agenda utama, manakala usaha menjaga hubungan antara parti serta gabungan perlu dibina kerana ia ibarat 'kusa' yang dapat mengawal dan mengendalikan kesepaduan dan keutuhan jentera pilihan raya. Tidak ada salahnya, mereka belajar bagaimana pemimpin PN menguruskan perbezaan termasuk pembahagian kerusi dan melupakan sejarah lama yang pastinya ada antara PAS, BERSATU dan GERAKAN.
Justeru, kita menyarankan setiap parti atau gabungan untuk cepat menutup buku sekiranya mahu memberikan saingan sihat dalam PRN kerana 'gendang perang' sudahpun rasmi dipalu berikutan satu demi satu DUN dibubarkan sejak Khamis lalu. Biarlah setiap gabungan tidak kira BN, PH atau PN dapat menawarkan manifesto terbaik kepada pengundi di enam negeri, sekali gus memilih gabungan mana terbaik untuk mentadbir kerajaan sepanjang penggal pilihan raya.