PUTRAJAYA: DAP tidak bercadang menamakan bekas setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua, sebagai calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Pua sendiri tidak berminat untuk bertanding dalam pilihan raya.
"Kami tidak berhasrat mencalonkannya," katanya di sini, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendesak DAP tidak menamakan Pua sebagai calon parti itu untuk bertanding pada PRN akan datang selepas melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.
Dalam ucapan pada majlis makan malam kutipan dana DAP pada Jumaat lalu, Pua berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN pada PRU akan datang.
Kenyataan PUA itu mengundang kemarahan pelbagai lapisan pemimpin UMNO dan BN.
Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, pula menggesa Loke memecat Pua sebagai Penasihat Dasar Setiausaha Agung DAP sebagai membuktikan komitmen parti itu kepada Kerajaan Perpaduan.
Bagaimana ketika mengulas gesaan Lian Ker, Loke menjelaskan bahawa peranan Pua dalam parti itu adalah tidak rasmi.
"Biar nyatakan dengan jelas, 'penasihat dasar' bukan jawatan rasmi dalam parti. Tiada jawatan sedemikian dalam perlembagaan parti, ia sekadar peranan penasihat," katanya.
Loke berkata, terpulang kepada dirinya sama ada mahu mendapatkan nasihat daripada penasihatnya, sambil menegaskan beliau tidak teragak-agak menegur mana-mana ahli atau pemimpin DAP jika mereka membuat kesilapan.