KUALA LUMPUR: Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyerahkan tugasnya sebagai Ketua Polis Negara kepada penggantinya, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu majlis di sini, hari ini.
Ia berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) dengan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada majlis sama, turut diadakan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara daripada Razarudin kepada penggantinya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.
Majlis serah terima tugas itu dimulakan dengan penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin dan Ayob Khan yang disempurnakan Saifuddin.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Acryl Sani dan Razarudin serta penyerahan tongkat kuasa.
Proses sama berlangsung antara Razarudin dan Ayob Khan selepas itu.
Turut diadakan upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia diantara Puan Sri Zaitun Mohd Isa dengan Puan Sri Zainah Othman disaksikan isteri Saifuddin, Datin Seri Norhayati Musa.
Pada majlis itu juga, diadakan majlis serah terima tugas Naib Pengerusi PERKEP Malaysia antara Zainah dengan Puan Seri Zalina Mohd Ariffin.
Acryl Sani dalam ucapannya, mengimbau penyertaan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1986 semata-mata kerana mahu mencari rezeki dan menyangkakan ia bersifat sementara.
"Selepas berada dalam pasukan polis, timbul rasa kasih dan sayang kepada PDRM dan selepas itu terus berkhidmat dalam pasukan keramat ini. Saya amat terhutang budi dengan PDRM kerana membantu saya dan isteri membina keluarga.
"Menjadi seorang anggota polis adalah satu nikmat. Justeru saya minta rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan supaya tidak mengambil mudah tugas dalam memastikan khidmat PDRM relevan sepanjang masa.
"Ambillah pulangan daripada khidmat itu bukan sahaja daripada segi imbuhan gaji, tetapi juga menjadi sebagai seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan bantuan," katanya.
Acryl Sani berkata tiada apa yang pelik apabila beliau perlu menamatkan tugas sebagai Ketua Polis Negara lebih awal dari tarikh asal iaitu pada 3 Oktober ini.
"Saya ditawarkan dengan perancangan lepas bersara dan saya tidak jangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu.
"Mungkin ada yang rasa pelik dengan perkara ini. Namun tiada apa yang janggalnya dalam peralihan kuasa. Situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tugas di luar," katanya.
Semalam, Saifuddin mengumumkan pelantikan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara yang baharu manakala Ayob Khan yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebagai timbalannya, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun.
Ia mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.