KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menjalin kerjasama strategik dengan TNG Digital Sdn Bhd bagi menyasarkan 10 peratus daripada 10 juta pengguna aktif Touch 'n Go (TNG) eWallet menggunakan perkhidmatan pengebilan JomPAY bank melalui aplikasi e-dompet.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman, berkata kerjasama itu memperoleh 800 transaksi bernilai hampir RM300,000 setiap hari pada 30 hari terakhir sejak perkongsian itu bermula.
Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan pembayaran bil dalam aplikasi dibuat melalui JomPAY.
"Ini ialah kerjasama terbaru bank-fintech yang ditetapkan untuk membentuk semula landskap pembayaran digital di negara ini," katanya dalam kenyataan bersama TNG eWallet dan PayNet.
"Pengguna TNG eWallet boleh mula membuat pembayaran bil kepada lebih 10,000 pengebilan JomPay dalam aplikasi TNG eWallet," katanya.
JomPay dikendalikan oleh PayNet.
Mohammad Hanis berkata, pendigitalan adalah satu daripada enam tonggak dalam pelan strategik lima tahunnya.
"Kerjasama ini menandakan kesinambungan perjalanan transformasi digital Bank Rakyat dan cita-cita kami untuk mencapai segmen pelanggan baharu menggunakan platform e-dompet.
"Ia juga sebagai tindak balas positif kepada sifat kompetitif sistem pembayaran yang bercirikan peningkatan dalam keutamaan pengguna untuk kemudahan dan pilihan pembayaran tanpa halangan," katanya secara berasingan pada sidang media di majlis pelancaran itu.
Sementara itu, CEO TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni, berkata pengguna eWallet syarikat kini mempunyai penyelesaian pengebilan yang komprehensif untuk mereka membuat pembayaran dengan selamat pada satu platform.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Bank Rakyat dan PayNet untuk membawa penyelesaian digital inklusif yang akan memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan," katanya. -BERNAMA