PERSEPSI 'ikan bilis selalu kena tapi jerung asyik terlepas' sering dilemparkan kepada penguatkuasaan undang-undang di negara ini, tidak terkecuali turut dikaitkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tanggapan itu timbul biasanya apabila ramai pembayar cukai mengadu dihubungi pegawai agensi percukaian terbabit dan terpaksa membuat pembayaran balik atau gaji dipotong disebabkan pelbagai faktor termasuk kesilapan tuntutan rebat, resit atau bukti pembelian hilang atau rosak.
Pada masa sama, mereka melihat perbicaraan kes seperti usaha LHDN mendapatkan semula tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin (RM37.6 juta) bagi tempoh antara 2011 hingga 2017. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah berkongsi keculasan tokoh besar termasuk 'VVIP' yang enggan membayar cukai semasa beliau menjawat Menteri Kewangan pada dekad 1990-an.
Justeru, kita menyambut baik ketegasan LHDN mempertahankan tindakan tanpa rasa takut atau pilih kasih apabila agensi itu dilaporkan menggeledah kediaman bekas Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin walaupun ia didakwa bermotif politik. Pemeriksaan ke atas kediaman pembayar cukai adalah aktiviti penguatkuasaan biasa dilakukan agensi itu dalam kes siasatan berkaitan cukai, bukan menyasarkan pihak tertentu.
Namun, tuduhan bermotifkan politik atau berani bertindak tanpa pilih kasih sukar untuk dijawab dengan meyakinkan apabila tokoh berkenaan hanya berdepan LHDN apabila tidak lagi berada di puncak kuasa dan selepas menjadi pembangkang. Pastinya, ramai tertanya-tanya ke mana 'hilangnya' LHDN ketika pemimpin berkenaan menjadi Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau jawatan tinggi lain untuk 'mengejar' mereka seperti apa dilakukan kepada pembayar cukai lain yang jumlahnya jauh lebih kecil.
Diakui Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967 menghalang LHDN daripada mengeluarkan sebarang maklumat mengenai percukaian individu, perniagaan dan syarikat kepada pihak ketiga sehingga umum tidak dapat melihat sebarang gerak kerja agensi itu dalam memastikan tanggungjawab rakyat dapat dilaksanakan. Justeru, kita mencadangkan akta itu dipinda dengan mengecualikan golongan tertentu seperti anggota pentadbiran kerajaan supaya masyarakat boleh melihat sendiri dan memantaunya seperti dilakukan dalam pengisytiharan harta dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Malah, agensi itu juga boleh mewujudkan mekanisme penarafan pematuhan pembayaran cukai VVIP, termasuk bilioner dan jutawan seperti skor kredit dibuat CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) tanpa mendedahkan jumlah pendapatan keseluruhan.
Apa yang penting, kita mahu LHDN tegas menyiasat mana-mana individu tanpa mengira jawatan atau status hatta anggota pentadbiran kerajaan sendiri sekiranya ada yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab seperti rakyat biasa lain. Pada masa sama, kita meminta agensi itu mewujudkan mekanisme lebih telus atau aktanya dipinda supaya dapat menghapuskan persepsi VVIP boleh berlagak seperti gajah masuk kampung tetapi menjadi harimau hilang kuku apabila tidak lagi berkuasa hingga baru dapat diambil tindakan LHDN.