JEMPOL: UMNO Negeri Sembilan akan memastikan jentera kempennya membantu calon daripada Pakatan Harapan (PH) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata ketika ini ada 20 DUN yang akan ditandingi PH berbanding 16 ditandingi calon BN.
Katanya, kawasan yang tidak ditandingi BN tidak akan dijadikan kawasan angkat mana-mana bahagian atau cawangan UMNO, sebaliknya jentera parti di DUN berkenaan akan membantu terutama ketika berkempen.
"Mereka perlu memberi tumpuan kepada DUN berkenaan, namun pada masa sama sekiranya mahu membantu DUN yang mana BN bertanding tiada masalah untuk berbuat demikian.
"Namun keutamaannya kita perlu bantu calon PH, kita bantu berkempen untuk mereka, sekali gus memenangkan kawasan ditandingi mereka.
"Saya percaya, PH juga akan berbuat demikian di kawasan yang ditandingi BN," katanya pada program Jelajah DUN PRN Negeri Sembilan peringkat DUN Sungai Lui di FELDA Lui Timur di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan ADUN Pertang, Noor Azmi Yusof.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, semakan UMNO Negeri Sembilan mendapati tiada ahli UMNO keluar parti beramai-ramai seperti didakwa.
"Mereka yang keluar kerana tidak berpuas hati adalah perkara biasa dalam mana-mana parti dan tiada apa yang pelik sebenarnya, kerana itulah amalan negara demokrasi," katanya.
Mengulas tuntutan bagi tambahan dua kerusi DUN diminta BN daripada PH, Jalaluddin berkata, ia akan diselesaikan kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan parti daripada BN dan PH.