Pilihan Raya Negeri (PRN) - Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka diadakan sama ada pada Julai atau Ogos ini. Pasti ia menjadi pilihan raya paling sengit selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Semua parti gabungan khasnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi komponen penting membentuk Kerajaan Perpaduan serta Perikatan Nasional (PN) mulai meningkatkan keupayaan masing-masing untuk merampas atau mempertahankan kuasa di negeri ditadbir mereka.
PRN menjadi platform rasmi pertama menguji kerjasama PH dan BN pada pilihan raya untuk berdepan PN yang mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu. Tidak syak lagi, PN didapati lebih awal memulakan kempen tidak rasmi, sebaik sahaja mereka gagal membentuk kerajaan pusat.
Namun, dengan pelbagai kekangan seperti akaun dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli politik kanan PN masih berdepan proses pendakwaan di mahkamah, ia agak menyukarkan sedikit laluan mereka kali ini.
Penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan dilihat semakin baik. Menjelang PRN yang dijangka sengit dan sukar ini, dapat dilihat apabila berlaku ketegangan di Dewan Rakyat, kes mahkamah membabitkan ahli politik dan isu kepemimpinan negeri dengan Persekutuan memuncak.
Bagi PN, PRN adalah medan terbaik untuk membalas dendam dan membuktikan sokongan pengundi, terutama orang muda dan orang Melayu tidak boleh dipandang rendah. Semua situasi dan fenomena yang muncul ini, kedua-dua pihak dilihat semakin rancak dan aktif berkempen secara terbuka dan di media sosial dengan matlamat mengumpul sokongan serta undi.
Suatu yang perlu diingatkan kepada semua parti politik, sungguhpun politik adalah alat untuk mendapatkan kuasa, namun 'matlamat tidak menghalalkan cara'. Pemimpin dan parti politik bertanggungjawab mendidik penyokong dan pengundi mengenai literasi politik sesuai dan serasi dengan acuan di Malaysia.
Acuan sesuai dan serasi adalah tidak mengapi-apikan penyokong dan pengundi dengan isu sensitif membabitkan kaum dan agama. Pemimpin dan parti seharusnya berkempen serta menyebarkan maklumat sahih, tepat dan tidak menimbulkan salah faham berpanjangan antara kaum dan agama.
Parti seharusnya berpencak secara rasional seperti 'anak jantan' bermaruah. Berhujah dan berkempen atas kapasiti dasar, pendekatan serta strategi tindakan sedang diamalkan kerajaan ketika ini.
Kritikan secara membina, rasional
Jika hendak mengkritik, ia perlu dilakukan secara membina. Segala kekurangan dan kelemahan menonjol dalam tata kelola kerajaan dibangkitkan secara rasional, bukan emosi. Berhujah dengan mengemukakan dasar, pendekatan dan program alternatif dapat mengimbangi apa sedang dilakukan dalam kerajaan.
Tiada manfaatnya menimbulkan sengketa dengan mengapi-apikan perasaan boleh menimbulkan curiga dan persepsi negatif terhadap kaum serta penganut lain. Dunia memasuki fasa baharu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), namun pemikiran segelintir ahli dan parti politik masih terkebelakang serta tertutup.
Isu kaum dan agama masih digunakan sebagai senjata untuk mengapi-apikan atau menarik penyokong, pengikut dan pengundi. Sepatutnya, bermula pada PRN ini, setiap calon dan parti berkempen serta berkongsi maklumat dengan penuh rasa tanggungjawab lagi berintegriti.
Pemimpin dan parti bertanggungjawab mendidik serta menitipkan nilai dan amalan politik baik ke dalam pemikiran serta jiwa penyokong, pengikut dan pengundi.
Tidak salah jika parti politik bekerja keras membentuk dan membina pengikut fanatik terhadap pemimpin atau partinya, namun soalnya bagaimana? Pemimpin dan parti bertanggungjawab perlu berusaha membentuk pemikiran penyokong dan pengikut berpegang kepada fakta, kebenaran serta nilai.
Fakta, kebenaran dan nilai tidak pernah berubah, malah bersifat mutlak merentas agama dan kaum. Hal ini kerana fakta dan kebenaran menjadi sesuatu ideologi parti itu terus bertahan serta bertapak kukuh dalam sanubari rakyat.
Pada asasnya, dalam sebuah negara demokrasi, semua parti memiliki ideologi politik yang baik dan bermatlamat mensejahterakan hidup rakyat. Atas sebab itulah, perjuangan sesebuah parti itu pada awalnya mendapat sokongan dan mandat penyokong, pengikut dan pengundi.
Namun, dalam kebanyakan kes yang menjadikan ideologi dan matlamat perjuangan parti politik itu tersasar adalah pemikiran dan tindak-tanduk ahli dan pemimpinnya.
Pemimpin politik dilihat tidak bertanggungjawab dalam proses mendapatkan sokongan pengundi. Mereka sanggup melanggar etika dan integriti seperti berbohong, menipu dan memfitnah demi kelangsungan politik dan bukannya ideologi serta idealisme politik diperjuangkannya.
Apa yang sedang berlaku kini, benar-benar memperlihatkan segelintir ahli politik tidak jujur dan berintegriti dalam memanipulasikan pengikut, penyokong dan pengundi. Mereka memanfaatkan situasi dan memutarbelitkan fakta serta maklumat mengelirukan khususnya kepada pengikut tegar, fanatik atau atas pagar.
Sesetengahnya didakwa dan dikenakan hukuman saman oleh mahkamah. Namun bagi penyokong tegar, buta dan fanatik, pemimpin didakwa dan disaman ini tidak bersalah serta dianggap menjadi mangsa politik lawan.
Atas sebab itu, pada hari ini, sukar untuk menemukan sosok ahli politik bijaksana, jujur, berhemah dan berintegriti tinggi. Hakikat perlu ditelan kebanyakan pemimpin politik masa kini adalah profesion sebagai ahli politik paling tidak dipercayai rakyat.
Pernyataan ini berdasarkan penyelidikan dijalankan Sektor Institut Penilaian Pendapat Awam (IPSOS) menerusi kajiannya The Profesions pada 2021. Kajian ini mendapati hanya 19 peratus rakyat mempercayai ahli politik dan ia adalah kepercayaan terendah berbanding profesion lain seperti doktor, jurutera dan pendidik.
Justeru, bagi memulihkan imej dan kepercayaan tercalar itu, ahli politik wajar menilai dan muhasabah diri serta menjalani proses literasi politik rasional, beretika dan berintegriti sebelum mendidik rakyat berpolitik.