KUALA LUMPUR: Pakaian jururawat berseluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah sopan dan menutup aurat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata pemakaian jururawat wanita yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah adalah perbuatan individu itu sendiri.
"Ia tidak perlu diperbesarkan kerana penetapan kod pakaian jururawat dalam perkhidmatan awam sudah dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.
"Pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang atau pendek ketika ini adalah amat sopan dan menutup aurat. Rekaan pakaian itu juga memudahkan pergerakan jururawat melaksanakan tugas.
"Soal pakaian ketat itu adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.
Beliau mendakwa ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pandangan dan teguran itu perlu diterima secara positif oleh semua pihak dan tidak menjadikan sebagai modal politik semata-mata.
"Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.
Selain itu, Adnan berharap KKM dapat memastikan kualiti kain pakaian jururawat berkualiti tinggi serta seragam di semua negeri.
Beliau berkata, CUEPACS menerima maklum balas bahawa kualiti kain tidak sama antara petugas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta mendesak supaya ia diberi penekanan tegas kepada pembekal selain membuat penambahbaikan dalam bayaran upah jahitan.
Katanya, CUEPACS juga berharap lebih banyak isu berkaitan kebajikan dan tekanan kos sara hidup dihadapi penjawat awam diketengahkan.
"Ketika ini jururawat di seluruh negara berhadapan beban tugas yang berat dengan ada di kalangan mereka terpaksa bertugas melebih norma waktu disebabkan kekurangan petugas.
"Ia perlu menjadi keutamaan semua pihak terutama dalam memastikan kebajikan penjawat awam dijaga dan dalam masa sama dapat memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.
CUEPACS berharap semua ahli Dewan Rakyat dapat membawa isu lebih besar serta memberi manfaat kepada kebajikan penjawat awam dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.