Sabtu, 17 Jun 2023 | 1:28pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PN mula agresif di Kelantan, PH-BN masih tunggu dan lihat

Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan sudah dipalu secara rasmi susulan pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bahawa negeri itu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun ini, iaitu Khamis minggu depan.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat EXCO susulan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sekali gus dilakukan lima hari lebih awal berbanding tarikh tamat DUN berkenaan bagi penggal ke-14 adalah pada 27 Jun ini.

Kelantan mengikuti dua negeri lain yang sudah mengumumkan tarikh pembubaran DUN, iaitu Pulau Pinang pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pula dua hari selepas itu, manakala tiga negeri lagi, iaitu Selangor, Kedah dan Terengganu belum lagi mengumumkan tarikh pembubarannya.

Kelantan mempunyai 45 DUN dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan PAS memenangi 37 kerusi DUN, manakala UMNO berjaya merebut lapan kerusi DUN sebelum menjadi tujuh kerusi milik parti itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO dan menyertai BERSATU.

Susulan itu, tujuh kerusi milik UMNO kini ialah DUN Kok Lanas, Galas, Nenggiri, Bukit Bunga, Gual Ipoh, Kuala Balah dan Paloh.

Setakat ini, sebagai persediaan berdepan PRN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu sudah membuat pengagihan kerusi dengan BN bertanding 31 kerusi, manakala PH pula 14 kerusi.

Bagaimanapun baru-baru ini timbul tidak puas hati dalam kalangan pimpinan PH apabila Pengerusi PH Kelantan, Mohamad Husin memohon tiga lagi kerusi diberikan kepada mereka menjadikan kerusi akan ditandingi mereka adalah 17 kerusi DUN.

Bagaimanapun sehingga kini tiada keputusan diperoleh kerana masing-masing menunggu pucuk pimpinan membuat keputusan.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, PAS sebelum ini memutuskan untuk bertanding di 37 kerusi DUN dengan lapan lagi akan ditandingi BERSATU.

Namun kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi bayangan akan menerima dua lagi kerusi DUN sebagai tambahan kepada 37 kerusi yang dipersetujui sebelum ini.

Fokus kemenangan kerusi, tarik pengundi

Perkara itu turut diakui Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor yang akur dengan keputusan berkenaan dengan alasan bukan jumlah kerusi menjadi ukuran, sebaliknya kemenangan kerusi DUN lebih utama.

Dengan petunjuk semasa termasuk keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan semua kerusi Parlimen di negeri itu dibolot PN dan tiada sebarang tanda besar peralihan pengundi, hampir pasti apakah PAS mampu mempertahankan Kelantan selepas 33 tahun bukan lagi persoalan. Tinggal lagi sejauh mana parti itu hasil kerjasama dengan BERSATU bakal melakar sejarah sekali lagi dengan menang besar 45 kerusi DUN.

Perkara itu tidak mustahil susulan PN Kelantan menang bergaya 14-0 pada PRU15, Disember tahun lalu, sekali gus menjadi kekuatan kepada gabungan parti itu untuk berdepan PRN.

Malah, PAS dan BERSATU juga kelihatan agak agresif untuk berdepan PRN apabila beberapa siri ceramah sudah dan bakal berlangsung dalam tempoh terdekat, walaupun pembubaran DUN pun belum dilakukan.

Berbeza dengan PH dan BN dilihat masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat atau sekadar memberi kenyataan media menjawab tuduhan dibuat PAS, PN lebih mengambil posisi menyerang.

Ini termasuk bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang nampaknya selesa di pentas PAS termasuk ketika berceramah baru-baru ini, beliau mengenakan baju Melayu disertakan dengan jaket parti baharunya.

Penyertaan Annuar di pentas PAS turut menyumbang kepada kemeriahan ceramah parti itu kerana ramai menanti-nantikan ceramah daripada bekas Setiausaha Agung UMNO itu.

Mungkin PH dan BN mempunyai strategi tertentu yang semestinya isu air Kelantan bakal menjadi modal terbesar buat mereka bagi meraih undi pengundi Kelantan nanti, tetapi apakah ia memadai untuk mengalih undi pengundi negeri itu?

Justeru, PH dan BN perlu mencari strategi tepat untuk turun sebagai calon bukan pilihan sekurang-kurangnya untuk mengekalkan tujuh kerusi sedia ada atau berani memasang impian untuk menambah bilangan kerusi.

Malangnya hingga kini, belum nampak sebarang perancangan ketara selain mendedahkan kelemahan PAS mentadbir kerajaan negeri termasuk pemberian bonus Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang berdasarkan rekod pilihan raya lalu, modal sedemikian tidak berjaya menggugat kedudukannya.

Berita Harian X