MARANG: Agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan pada Rabu depan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perbincangan mengenai agihan kerusi itu sudah diadakan beberapa kali dan setakat ini, terdapat beberapa kerusi yang belum diselesaikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, persidangan Majlis Presiden pada minggu depan akan menyelesaikan sebarang isu yang ada, seterusnya memuktamadkan jumlah agihan kerusi dalam parti komponen PN.
"Majlis Presiden akan bersidang pada minggu depan untuk tandatangan (dan selepas itu) tidak ada lagi (perbincangan), hanya umumkan sahaja.
"Bila sudah ada kerusi yang telah pun kita serahkan, maka calon itu kita serahkan juga kepada parti komponen (untuk pemilihan calon).
"Contohnya, kalau kita sudah serahkan di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan ini kepada PAS, (jadi) PAS cari calon yang sesuai untuk kawasan ini. Begitulah cara (pemilihan calon) yang akan kita tentukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Marang di pekarangan Pasar Binjai Rendah di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan PN sudah menyelesaikan rundingan 97 peratus atau 240 daripada 245 kerusi DUN di enam negeri sebagai persiapan menghadapi PRN akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata terdapat lima atau enam lagi kerusi yang belum selesai dan dijangka dapat diselesaikan sebelum pembubaran DUN.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.