Jumaat, 16 Jun 2023 | 8:02pm
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - NSTP/ARKIB
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - NSTP/ARKIB

'Masalah tak selesai, dia pi naik lembu...' - Sanusi sindir menteri

BALING: "Ada orang pi naik lembu, jadi menteri masalah tak selesai".

Itu sindiran Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dipercayai merujuk video tular memaparkan seorang menteri yang dirakam menunggang seekor lembu, baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu turut mengaitkan tindakan menteri berkenaan dengan prestasi yang didakwanya sangat mendukacitakan.

"Dia pi naik lembu, orang gelaklah. Jadi pemimpin, jadi menteri, jangan buat kerja macam tu, ditertawakan. Itulah prestasi," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Geran Tanah kepada 12 keluarga mangsa banjir puing Kampung Iboi di Kupang, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 12 keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir puing melanda Kampung Iboi tahun lalu, menerima kunci rumah masing-masing berserta geran daripada Muhammad Sanusi.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah kiri) bersama penduduk Kampung Iboi yang menjadi mangsa banjir puing tahun lalu pada majlis penyerahan kunci rumah di Desa Keda Sadek, Kupang, hari ini. - NSTP/SYAHARIM ABIDIN
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah kiri) bersama penduduk Kampung Iboi yang menjadi mangsa banjir puing tahun lalu pada majlis penyerahan kunci rumah di Desa Keda Sadek, Kupang, hari ini. - NSTP/SYAHARIM ABIDIN

Menteri Besar yang juga Timbalan Pengerusi PN Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, berkata PN sedia untuk menawan enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PN).

Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan atau 'gelombang hijau' rakyat terhadap gabungan itu yang didakwanya semakin meningkat berbanding Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu.

"Gelombang PRU15 masih bersama PN, saya yakin makin meningkat sebab dahulu orang tak tahu prestasi. Sekarang orang tengok prestasi sangat mendukacitakan, maka orang sambung dengan 'gelombang' sedia ada," katanya.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mengakui situasi politik di negara ini ketika ini tidak sama seperti dahulu.

"Susah memang susah politik, sekarang kita punya pola politik tak macam dahulu, perlu 'alert' (peka)," katanya.

Enam negeri akan mengadakan PRN ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN, selain Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah PH.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dijadual dibubarkan pada 28 Jun ini, sama tarikh dengan Negeri Sembilan. Pembubaran DUN Kelantan pula lebih awal iaitu 22 Jun, manakala DUN Pulau Pinang dijadual dibubarkan pada 30 Jun.

Setakat ini, Selangor dan Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.

Berita Harian X