Khamis, 15 Jun 2023 | 5:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Dadah dianggar bernilai RM4 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah dianggar bernilai RM4.06 juta susulan penahanan empat lelaki tempatan disyaki pengedar di Lembah Klang, kelmarin.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata keempat-empat suspak berusia antara 37 hingga 58 tahun.

"Kita merampas dadah jenis syabu seberat 62 kilogram (kg), methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) berjumlah 12.23 kg, ketamin seberat 2.18 kg dan pil Erimin 5 seberat 344 gram.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer dan 180 butir peluru," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung dan dihantar ke ibu negara.

Katanya, sindiket dipercayai mula aktif Mac tahun lalu dan beroperasi menggunakan jalan darat manakala kediaman dijadikan stor sebelum diedarkan," katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah manakala semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"JSJN menyita pelbagai aset sindiket antaranya lima kenderaan, barang kemas, jam tangan dan wang tunai dianggar bernilai RM721,800," katanya.

Noorsiah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Berita Harian X