Khamis, 15 Jun 2023 | 1:11pm

Perkukuhkan keselamatan siber negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Rang Undang-undang Keselamatan Siber dalam usaha mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu bukan saja mencakupi soal keselamatan siber dalam negara, tetapi juga di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

"Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk

di dalam domain digital dan ekosistem siber.

"Sehubungan itu, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata entiti dalam ekosistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

Bagaimanapun, pada masa sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan selain memaksimumkan kecekapan.

"RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber," katanya.

Ia juga akan menambah baik keberkesanan fungsi NACSA, MKN

sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan

Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

"Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber," katanya.

Berita Harian X