KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang turut membabitkan calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.
Timbalan Menteri, Lim Hui Ying, berkata jumlah yang tepat seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan awam itu, tahun lalu.
Katanya, tiada percanggahan angka yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia menyenaraikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan termasuk mereka yang hanya mendaftar satu mata pelajaran saja.
"Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) mengenai hanya 14,858 atau 3.8 peratus itu calon tidak hadir peperiksaan adalah calon yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian," katanya menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Roslan dalam soalannya ingin mengetahui percanggahan angka keciciran pelajar yang menghadapi SPM 2022 yang disenaraikan Anwar dan Radzi.
Semalam, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa Perdana Menteri memesongkan fakta sebenar berkenaan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.
Beliau berkata, dakwaan Anwar bahawa 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM pada 2022 bercanggah dengan jumlah yang sebelum ini dilaporkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Selasa lalu, Anwar dalam Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.
Sementara itu, Hui Ying berkata, KPM sentiasa komited untuk menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi dan digital secara berterusan untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.
Justeru, katanya bantuan kepada guru diteruskan pada tahun 2023 dengan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan guru dalam mendidik murid-murid selaras dengan arus pemodenan teknologi digital.
"Selain itu, guru diberi latihan dan bimbingan yang berterusan dalam mendukung pelaksanaan dasar pendidikan semasa termasuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam aspek pendigitalan pendidikan bagi mendepani pendidikan abad ke-21.
"Berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) sehingga 31 Mei 2023 sebanyak 1,789 latihan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (PN-Tajong Piai).
Jeck Seng dalam soalannya ingin mengetahui bantuan yang diteruskan kepada guru yang terpaksa menguruskan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian disebabkan ketidakhadiran murid ekoran kes jangkitan COVID-19 ketika Malaysia masih berada dalam fasa peralihan endemik.
Hu Ying berkata, KPM turut melaksanakan program khidmat bantu pengintegrasian teknologi pendidikan kepada guru secara berterusan melalui aktiviti perkongsian video, webinar dan tutorial berkaitan dengan kaedah serta pendekatan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian PdP yang berkesan.
"Guru yang terpilih untuk memberi khidmat bantu terdiri daripada mereka yang telah diiktiraf Microsoft, Google dan Apple.
"Kelompok ini dikenali sebagai Guru Peneraju Generasi Digital.
Pada 2022, kerajaan memberikan Insentif Alat Bantuan Mengajar sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada 416,260 guru sekolah di bawah KPM dengan peruntukan sebanyak RM41.6 juta," katanya.