KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini bermula kecoh dengan isu 'flip-flop' atau keputusan bertukar-tukar membabitkan Kerajaan Perpaduan, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak kisah sama sekali bertindak sedemikian demi kepentingan beban rakyat.
Perkara itu dibangkitkan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) merujuk beberapa keputusan dibuat Kerajaan Perpaduan, antaranya isu pemberian subsidi ayam dan telur, serta ketetapan berhubung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi untuk pelajat institusi pengajian tinggi (IPT).
Perdana Menteri ketika menjawab perkara itu, menegaskan pendirian kerajaan dalam isu berkenaan bukanlah bersifat 'flip-flop' sebaliknya ia adalah dasar baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Pengumuman itu bukan flip-flop. (Ia) keputusan lama yang diumum ikut prosesnya, tapi bila dimaklum kepada saya dan diteliti balik, ini akan membebankan rakyat, raya haji dekat. Kita tolonglah rakyat.
"Kalau pun flip-flop untuk bantu rakyat, saya akan flip-flop. Buat apa tak mahu flip-flop tapi bebankan rakyat," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, mengenai subsidi ayam dan telur yang akan berakhir 30 Jun serta biasiswa JPA bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi dihentikan, ia adalah berdasarkan keputusan lama yang dibuat ketika pentadbiran lalu.
"Keputusan JPA (menghentikan biasiswa) ini keputusan lama. Ada rekod. Saya hadir mesyuarat JPA, memang ada keputusan lama untuk mengkaji semula dan menghentikan (biasiswa).
"Yang diumumkan itu keputusan lama. Bila saya mempengerusikan mesyuarat JPA, keputusannya yang saya buat, (iaitu) sambung biasiswa.
"Begitu juga tentang ayam dan telur. Keputusan (subsidi) habis Jun, itu keputusan lama dan kementerian hanya umumkan keputusan (lama). (Selepas) rujuk kepada Menteri kewangan dan Perdana Menteri, saya kata sambung (subsidi)," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sekiranya beliau tidak membuat keputusan yang digambarkan Ahli Parlimen Tanjong Karang sebagai 'flip-flop' itu, maka kerajaan perlu meneruskan beberapa keputusan pentadbiran lalu yang membebankan rakyat seperti menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna.
"Kalau tak mahu 'flip-flop', keputusan Kabinet dulu masa Perikatan Nasional (PN) naik elektrik untuk semua. Tapi Perdana Menteri Tambun tukar. (Keputusan) 'flip-flop' tidak bebankan rakyat.
"Kalau keputusan itu membebankan rakyat, YB Tanjong Karang patut bangkit. (tetapi) keputusan (dibuat) membantu rakyat, YB Tanjong Karang nak jadi juara siapa?" soalnya.
Dalam pada itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun mencelah dan mendakwa jawapan Anwar mengenai tarif elektrik tidak tepat kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang mengumumkan subsidi ayam dan telur akan ditamatkan pada 30 Jun ini dan harganya diapungkan bermula 1 Julai depan.
"Betul YB Kota Raja kata terpaksa hentikan subsidi bulan Jun, (tetapi) ikut keputusan lampau. YB Tambun kata sambung. Apa masalahnya?" katanya.
Mengulas kenyataannya mengenai perolehan vaksin COVID-19 dibuat tanpa persetujuan Peguam Negara yang didakwa bercanggah usul Kementerian Kesihatan (KKM) di Parlimen, Perdana Menteri mempertahankannya.
"Soal vaksin, Yang Berhormat (YB) Tanjong Karang tak teliti keseluruhannya (kandungan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19). Ada kebenaran dibangkitkan, ada sebahagian yang tidak dirujuk kepada Peguam Negara," katanya.