Isnin, 12 Jun 2023 | 6:48pm

Pulau Pinang mahu beli air terawat pula dari Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengesahkan menerima permohonan daripada Kerajaan Pulau Pinang untuk air terawat daripada Lembaga Air Perak (LAP).

Saarani berkata, surat berkenaan diterima dua bulan lalu, selepas cubaan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air mentah dari Perak menerusi Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS), tidak membuahkan hasil.

Beliau berkata, Kerajaan Pulau Pinang meminta untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Perak berhubung perkara itu.

"Baru-baru ini, Kerajaan Pulau Pinang memberi surat lagi kepada kita, cuma kali ini berbeza apabila mereka minta untuk membeli air terawat daripada LAP.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad ketika sidang media selepas Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia. NSTP/L. MANIMARAN
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad ketika sidang media selepas Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia. NSTP/L. MANIMARAN

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa LAP memang menjual air ke Nibong Tebal di Pulai Pinang melalui air yang disalirkan dari Parit Buntar di daerah Kerian, Perak dan ia dibayar mengikut (kapasiti) meter air.

"Jadi air terawat, yang dirawat oleh Perak dan kita menjualnya, itu boleh. Namun, yang tak bolehnya ialah jika air dari Sungai Perak itu hendak diambil untuk dipindahkan ke aliran lain.

"Saya percaya ia difahami oleh Kerajaan Pulau Pinang, yang mana mereka memerlukan air terawat. Mereka bersedia untuk beli air terawat dan kita boleh bincang, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai gesaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat, minggu lalu, yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, campur tangan bagi membolehkan rundingan dibuat supaya Pulau Pinang memperoleh bekalan air mentah dari Perak khususnya menerusi Sungai Perak.

Ditanya jika surat yang dihantar itu ada menyatakan kapasiti air terawat yang diperlukan Pulau Pinang, Saarani berkata, ia tidak dinyatakan, sebaliknya hanya memaklumkan negeri itu bersedia untuk berbincang mengenai pembekalan air terawat terbabit.

Saarani berkata, keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada kecukupan penggunaan air untuk Perak.

"Sama ada kita nak jual (air) ini, kita masih perlu untuk pastikan kegunaan di negeri sendiri mencukupi. Kalau tidak sudah tentu rakyat Perak akan marahkan saya apabila saya jual air kepada negeri lain dan tiba-tiba kita dapati air kita tak cukup," katanya.

Disember tahun lalu, Saarani dilaporkan berkata, Kerajaan Perak tetap dengan keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan campuran di peringkat Pusat.

Saarani ketika itu berkata, projek SPRWTS kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti bekalan air di Perak hanya mencukupi untuk negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad ketika sidang media selepas Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia. - Foto NSTP/L. MANIMARAN
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad ketika sidang media selepas Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia. - Foto NSTP/L. MANIMARAN
Berita Harian X