KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hanya menerima 5,697 permohonan mendapatkan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) bagi tempoh Jun 2022 hingga Mei 2023.
Daripada keseluruhan permohonan itu, sebanyak 5,261 sudah diluluskan.
KSM dalam kenyataannya, berkata semakan dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) mengesahkan bahawa bilangan 81,129 permohonan PDI yang dilaporkan sebelum ini adalah permohonan daripada Malaysian Recruitment Agency (MRA) kepada Indonesian Placement Agency (IPA) menerusi 'demand letter' sebagai persediaan sekiranya ada permintaan daripada majikan di negara ini.
Katanya, bilangan permohonan oleh MRA tidak menggambarkan keperluan sebenar majikan kerana data JTKSM menunjukkan hanya menerima 5,697 permohonan bagi tempoh Jun tahun lalu hingga Mei tahun ini.
Dalam pada itu KSM memaklumkan, proses permohonan PDI sedia ada membabitkan tiga pihak iaitu JTKSM, KBRI dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Proses kerja ini sudah dipersetujui dan diputuskan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) PDI 2022 yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1 April 2022 di Jakarta.
"Sebarang perubahan proses kerja perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak. Pada masa kini, JTKSM sedang membangunkan modul permohonan PDI secara dalam talian bagi meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses kelulusan," katanya menurut kenyataan itu.
Semalam BH melaporkan, Kedutaan Indonesia di sini, mendedahkan daripada 81,129 permohonan membabitkan PDI atau pembantu rumah yang diterima dalam tempoh lebih setahun, hanya 4,400 diluluskan Malaysia setakat ini.
Duta besar Indonesia ke Malaysia dilaporkan berkata, terdapat jurang yang cukup luas antara permohonan untuk amah bekerja di negara ini dan mereka yang diterima masuk.
Mengulas lanjut, apabila ditanya berkenaan dakwaan kelewatan kelulusan menyebabkan ramai majikan menggunakan khidmat secara haram, KSM berkata, perkara itu tidak berlaku kerana setiap permohonan hanya mengambil masa maksimum selama 14 hari untuk diproses di JTKSM.
Katanya, dakwaan ramai majikan menggunakan khidmat secara haram berkemungkinan berpunca daripada tiada kesedaran majikan terhadap keperluan penggunaan agensi yang berlesen bagi memastikan tidak berlaku penipuan kepada majikan dan PDI itu sendiri.
"JTKSM akan meningkatkan program kesedaran kepada majikan dan tanggungjawab agensi bagi mengelakkan penipuan.
"Sebelum ini, JTKSM sudah menjalankan OPS Maid pada Disember 2022 selepas menerima beberapa aduan berhubung dengan menggajikan PDI menggunakan khidmat secara haram.
"JTKSM juga sudah mengambil tindakan membatalkan lesen agensi pekerjaan swasta (APS) yang didapati menawarkan perkhidmatan secara haram dan tidak mengikut mekanisme pengambilan yang dipersetujui menerusi MoU," katanya.
Katanya, selain itu, JTKSM juga telah membuat pemeriksaan terhadap majikan dan PDI.
"Tujuan pemeriksaan ini diadakan adalah bagi memastikan majikan mematuhi syarat-syarat pengambilan PDI termasuk pembayaran gaji RM1,500 sebulan dan tujuan penggajian PDI adalah mengikut kategori dinyatakan dalam kontrak perkhidmatan" katanya.