Ahad, 11 Jun 2023 | 11:31am
Indonesia minta Malaysia percepat proses elak majikan ambil PDI secara tak sah. - Foto hiasan
Indonesia minta Malaysia percepat proses elak majikan ambil PDI secara tak sah. - Foto hiasan

Duta persoal lambat lulus amah Indonesia

KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia di sini, mendedahkan daripada 81,129 permohonan membabitkan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) atau pembantu rumah yang diterima dalam tempoh lebih setahun, hanya 4,400 diluluskan Malaysia setakat ini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata terdapat jurang yang cukup luas antara permohonan untuk amah bekerja di negara ini dan mereka yang diterima masuk.

Beliau berkata, daripada 4,400 PDI yang diluluskan itu, kira- kira 2,300 sudah sampai dan bekerja di negara ini.

"Justeru, kita mempersoalkan daripada lebih 80,000 permohonan itu, kenapa yang diluluskan baharu 4,400. Ini sekali gus menunjukkan adanya jurang yang begitu luas.

"Kita berpendapat proses ini perlu dipercepatkan bagi mengelakkan majikan mengambil PDI secara tidak sah yang menjurus kepada masalah pekerja tanpa dokumen," katanya dalam temubual bersama BH, semalam.

Malah, Hermono tidak menolak kemungkinan kelambatan kelulusan permohonan PDI menyebabkan ada majikan mengambil jalan mudah dengan mendapatkan pembantu rumah dengan cara tidak sah.

Katanya, ketika ini juga lebih ramai PDI cenderung untuk berkhidmat di Arab Saudi berbanding Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Taiwan selepas negara itu membuka semula kemasukan pekerja dari luar.

Pada 1 April 2022, Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di negara ini.

MoU itu antara lain menetapkan kos maksimum pengambilan PDI pada RM15,000, seorang PDI hanya boleh berkhidmat untuk isi rumah tidak lebih enam orang, hanya menjaga rumah atau anak atau orang tua, selain gaji perlu dibayar sebelum hari ketujuh setiap bulan dengan upah minimum RM1,500.

Saluran kemasukan tunggal

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju menggunakan saluran kemasukan tunggal PDI ke Malaysia bagi menyaring majikan yang benar-benar layak untuk menggajikan pembantu rumah.

Bagaimanapun, laporan sebelum ini menyebut kerajaan Malaysia berharap satu ketetapan dapat dicapai berhubung cadangan untuk mengurangkan kos PDI yang dianggap tinggi.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dipetik sebagai berkata, ia mungkin berpunca daripada multilevel recuitment atau pengambilan pelbagai peringkat apabila pekerja domestik negara itu dibawa misalnya dari kawasan pedalaman dan kemudian dihantar ke beberapa agensi sebelum ke Malaysia.

Berhubung Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang diumumkan Januari lalu, Hermono berkata, seramai 25,585 pekerja migran dari Indonesia sudah diluluskan pihak kedutaan untuk mendapatkan pasport.

Daripada jumlah itu, hanya 46 sahaja pemutihan dibuat terhadap PDI walaupun pihaknya yakin lebih ramai golongan pembantu rumah yang masih belum mempunyai dokumen sah.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pengambilan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berada dalam negara sebagai pembantu rumah, menjadi sektor baharu dibenarkan dalam Program RTK 2.0.

Ia menjadikan keseluruhan lapan sektor dibenarkan dalam lanjutan program itu yang akan berakhir 31 Disember ini.

Tujuh sektor lain ialah perkilangan, pembinaan, perlombongan, kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.

Selain itu, Hermono berkata, pihak kedutaan akan menyokong sekiranya dasar di Malaysia membenarkan kira-kira 4,000 migran dari Indonesia yang berada di depoh tahanan Imigresen dimasukkan ke dalam Program RTK 2.0.

Beliau berkata, migran terbabit sudah dijatuhkan hukuman dan hanya menunggu masa untuk pulang semula ke Indonesia namun disebabkan tiada pembiayaan, proses terbabit tergendala.

"Terpulang kepada Malaysia membenarkan mereka ini menyertai RTK, namun kedutaan akan menyokong dengan memberikan pasport diperlukan.

"Ini kerana ada yang berada di depoh hingga setahun atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya.

Berita Harian X